Sorting by

×

WRUR BANDA HILIR: SENTUHAN MESRA MBMB CERIAKAN LIMA KELUARGA

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDA HILIR 3 Jun – Senyuman terukir pada wajah lima keluarga kurang berkemampuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir apabila menerima kunjungan dan sumbangan menerusi Program Konvoi MBMB Sayang Rakyat (MeSRA).

Inisiatif berkenaan diadakan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Banda Hilir: Kota Melaka, Kampung Kita dengan lima keluarga terbabit disantuni menerusi pendekatan turun padang di Ujong Pasir, Kampung Portugis, Rumah Pangsa Banda Hilir, Rumah Pangsa Bakti 2 dan Lorong Bukit Cina.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen berkata, program itu memberi makna besar kepada penerima yang memerlukan bantuan dan sokongan bagi meneruskan kehidupan dengan lebih selesa.

“Program seperti ini sangat bermakna kerana dapat membantu golongan memerlukan terutama mereka yang berdepan kekangan kewangan dan kesukaran dalam kehidupan harian.

“Apabila pemimpin dan agensi kerajaan turun padang menyantuni mereka, reaksi ditunjukkan amat mengharukan. Penerima sumbangan ini amat gembira dan teruja kerana merasakan diri mereka dihargai serta tidak dipinggirkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan di Lorong Bukit Cina, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Muhammad Firdaus Shariff.

Beliau yang juga Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, pendekatan turun padang seperti itu membolehkan pemimpin memahami sendiri realiti kehidupan rakyat.

“Ia sekali gus membantu Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan yang lebih tepat kepada golongan sasaran sekali gus membantu meringankan beban dihadapi mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

203
Kongsi :
Previous post KEUNIKAN MELAKA ‘PIKAT’ PELAJAR SAMBUNG PENGAJIAN DI UNIMEL
Next post UNIMEL SEMAKIN DISEGANI, JADI PILIHAN RAMAI