
UNIMEL SEMAKIN DISEGANI, JADI PILIHAN RAMAI
KUALA LINGGI 3 Jun – Kemampuan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) untuk melahirkan graduan berkualiti dan mengikut keperluan pasaran kerja semasa semakin diyakini, kata Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah.
Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi berkata, perkembangan positif itu adalah hasil penambahbaikan secara menyeluruh dilaksanakan pihak pengurusan universiti berkenaan yang melibatkan aspek seperti tawaran kursus pengajian selain penjenamaan semula kepada UNIMEL.
Katanya, UNIMEL kini bukan sahaja menjadi pilihan anak jati Melaka sahaja tetapi turut menarik minat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari negeri lain seluruh negara.
“Saya juga sempat berjumpa dan menyantuni ibu bapa yang datang menemani anak mereka untuk mendaftar kali ini, ramai yang memberikan maklum balas amat positif, sekali gus menunjukkan universiti milik penuh Kerajaan Negeri ini terus diyakini serta mendapat perhatian ramai.
“Mereka yakin terhadap kemampuan UNIMEL dalam membentuk pelajar cemerlang akademik dan graduan yang memenuhi kehendak majikan,” katanya ketika ditemui pada Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi 1 2026/2027 UNIMEL di Kampus universiti itu di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UNIMEL Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly.
Sebelum ini UNIMEL turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk penarafan 6 Bintang TalentBank pada Majlis Anugerah TalentBank 2026 yang berlangsung penuh gemilang di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 11 April lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

