Sorting by

×

WRUR BANDA HILIR: NASIB WARGA EMAS DI PANGSAPURI LAMA KINI TERBELA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 5 Jun – Kemudahan lif di pangsapuri bukan lagi sekadar fasiliti tambahan, sebaliknya menjadi keperluan asas terutama bagi warga emas yang bergantung kepada kemudahan itu untuk menjalani kehidupan harian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Hilir Leng Chau Yen berkata, masalah kerosakan lif sering berlaku di pangsapuri lama boleh menjejaskan pergerakan penduduk, khususnya golongan berusia yang terpaksa menggunakan tangga untuk naik dan turun bangunan.

Menurutnya, atas sebab itu usaha menaik taraf lif di kawasan perumahan bertingkat perlu diberi perhatian berterusan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara.

“Lif ini sangat penting kerana ramai warga emas yang tinggal di kawasan pangsapuri ini. Jika lif tidak berfungsi, mereka terpaksa menggunakan tangga dan keadaan itu sudah tentu menyukarkan urusan harian mereka.

“Sebagai contoh Pangsapuri Laksamana 1 ini sudah berusia lebih 30 tahun, sebab itu kerosakan lif sering berlaku jika kemudahan tersebut tidak diselenggara atau dinaik taraf dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyempurnaan Projek Naik Taraf Fasiliti Pangsapuri sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir Kota Melaka: Kampung Kita di Pangsapuri Laksamana 1, di sini, semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Chau Yen berkata, DUN Bandar Hilir menerima peruntukan bagi menaik taraf empat lif membabitkan dua lif di pangsapuri sembilan tingkat Jalan Bendahara, satu lif di Pangsapuri Laksamana Cheng Ho dan satu lif di Pangsapuri Laksamana 1.

Katanya, projek berkenaan memberi manfaat besar kepada penduduk yang telah sekian lama berdepan masalah lif rosak, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan mereka.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan MBMB yang sentiasa membantu dalam usaha menambah baik kemudahan awam di kawasan DUN Banda Hilir.

“Kerjasama semua pihak membolehkan keperluan penduduk diberi perhatian dan diselesaikan dengan lebih berkesan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

433
Kongsi :
Previous post WRUR BANDA HILIR: MBMB NAIK TARAF 4 LIF PANGSAPURI UZUR
Next post BENGKEL LEPAAN DINDING LAHIRKAN GENERASI PEKA WARISAN