Sorting by

×

MELAKA TELITI MODEL KOMPLEKS UPACARA TERAKHIR HINDU TELUK JAWA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 5 Jun – Kerajaan Negeri sedang meneliti model pengurusan dan operasi Kompleks Upacara Terakhir Hindu di Teluk Jawa, Johor sebagai rujukan dalam usaha membangunkan kemudahan yang lebih tersusun, lengkap dan kondusif untuk masyarakat Hindu di negeri ini.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, lawatan kerja rasmi ke kompleks berkenaan pada 29 Mei lalu diadakan susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang membincangkan keperluan mewujudkan kemudahan seumpamanya di Melaka.

Menurut beliau, lawatan itu memberi peluang kepada rombongan Kerajaan Negeri meneliti secara lebih dekat aspek perancangan, reka bentuk, kaedah pembinaan, model pengurusan serta operasi harian yang dilaksanakan di kompleks berkenaan.

“Kompleks Upacara Terakhir Hindu di Teluk Jawa ini mempunyai pelbagai kemudahan yang diurus secara sistematik dan boleh dijadikan antara rujukan terbaik dalam usaha Kerajaan Negeri merancang pembangunan kemudahan yang memenuhi keperluan masyarakat Hindu di Melaka.

“Lawatan ini juga membuka ruang untuk kita melihat sendiri amalan terbaik yang dilaksanakan, selain mendapatkan pandangan serta pengalaman daripada pihak pengurusan kompleks,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Lawatan turut disertai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Muhammad Firdaus Shariff; wakil Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah; Unit Kerajaan Tempatan Negeri Melaka; Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka; Pejabat Tanah dan Galian Negeri Melaka; Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka serta Pejabat Undang-Undang Negeri Melaka.

Ketibaan rombongan disambut Pengerusi Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) Datuk R Sugumaran yang turut memberikan penerangan mengenai pengurusan, kemudahan serta operasi kompleks tersebut.

Shanmugam berkata, hasil lawatan berkenaan akan diteliti dan diperhalusi oleh agensi berkaitan bagi memastikan cadangan pembangunan kemudahan seumpamanya di Melaka dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.

“Kerajaan Negeri komited memastikan kemudahan yang bakal dibangunkan nanti bukan sahaja memenuhi keperluan masyarakat Hindu, malah menyediakan persekitaran yang lebih selesa, teratur dan sesuai untuk kegunaan jangka panjang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

699
Kongsi :
Previous post WRUR BANDA HILIR: LIF BAHARU HADIAH BERMAKNA BUAT PENDUDUK PANGSAPURI LAKSAMANA 1
Next post UNIMEL BAKAL TAWAR KURSUS ‘POST BASIC RENAL’