
UNIMEL BAKAL TAWAR KURSUS ‘POST BASIC RENAL’
KUALA LINGGI 5 Jun – Universiti Islam Melaka (UNIMEL) bakal menawarkan kursus dalam bidang pengkhususan penjagaan pesakit dan rawatan masalah buah pinggang (Post Basic Renal) bermula tahun ini.
Pensyarah Fakulti Kejururawatan Dan Sains Kesihatan UNIMEL, Prof. Dr. Azreen Syazril Adnan berkata, kursus itu terbuka kepada mana-mana jururawat berdaftar yang berminat dalam bidang berkenaan.
Katanya, inisiatif itu juga bertujuan untuk melahirkan lebih ramai jururawat memiliki kepakaran dalam bidang berkenaan susulan jangkaan jumlah penghidap masalah buah pinggang di Malaysia yang akan meningkat menjelang 2040.
“Mengikut perancangan kami akan memulakan pengambilan pertama bagi kursus ini pada September depan, modul ditawarkan berbeza berbanding apa yang ditawarkan di universiti lain di negara ini.
“UNIMEL tawarkan modul unik berdasarkan kepada pengalaman dan penelitian saya sepanjang 20 tahun mengendalikan pesakit buah pinggang kronik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya, kursus itu bukan sahaja melibatkan dialisis tetapi merangkumi semua jenis rawatan mengikut tahap masalah buah pinggang yang dialami pesakit berkenaan.
“Seperti semua sedia maklum, masalah buah pinggang ada lima tahap, jadi rawatan diberikan mengikut tahap. Kita bukan tumpu kepada dialisis sahaja tetapi rawatan yang boleh membantu mengelakkan pesakit daripada perlu menjalani dialisis.
“Ini adalah satu peluang yang perlu direbut kerana permintaan adalah tinggi, bagi peluang pekerjaan kita juga ada jaringan dan rakan strategik yang mempunyak rangkaian dengan lebih 100 pusat rawatan dialisis seluruh negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


