Sorting by

×

DAKWAAN CABUL, ROGOL DALAM BILIK JENAZAH TIDAK BERLAKU – POLIS

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Jun – Polis mengesahkan dakwaan seorang wanita yang menjadi mangsa cabul dan rogol berulang kali oleh seorang lelaki di dalam bilik jenazah sebuah masjid di daerah Melaka Tengah adalah tidak benar selepas siasatan menyeluruh dijalankan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada jam 9.12 pagi, semalam daripada seorang wanita Melayu berusia lingkungan 50-an yang mendakwa menjadi mangsa cabul dan rogol oleh seorang lelaki berusia 48 tahun.

Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan mendapati dakwaan berhubung kejadian cabul dan rogol tersebut tidak berlaku seperti yang dilaporkan.

“Siasatan menyeluruh yang dijalankan kemudiannya mendapati dakwaan berhubung jenayah cabul dan rogol tersebut tidak berlaku.

“Keterangan yang diperoleh menunjukkan tiada sebarang elemen paksaan, sekali gus gagal membuktikan kewujudan unsur jenayah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, susulan itu polis telah menyerahkan kes berkenaan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk tindakan lanjut mengikut Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Terdahulu, isu berkenaan tular di media sosial dan menjadi bualan masyarakat setempat selepas pengadu mendakwa dirinya menjadi mangsa cabul dan rogol berulang kali di sebuah masjid sekitar Melaka Tengah.

Bagaimanapun, siasatan polis tidak menemukan bukti yang menyokong dakwaan berlakunya jenayah cabul atau rogol seperti yang dilaporkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

502
Kongsi :
Previous post UNIMEL BAKAL TAWAR KURSUS ‘POST BASIC RENAL’
Next post KADAR RATA CAJ PARKIR HOSPITAL MELAKA RM8 SEHARI BERKUATKUASA HARI INI – DR. DZULKEFLY