Sorting by

×

PROGRAM BANDAR SELAMAT 2.0: MPHTJ TERIMA SUNTIKAN RM500,000

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 6 Jun – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menerima peruntukan berjumlah RM500,000 bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Program Bandar Selamat 2.0 bertujuan memperkukuh aspek keselamatan awam dan pencegahan jenayah dalam kawasan pentadbirannya.

Peruntukan tersebut disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Datuk TPr. Dr. Alias Rameli kepada Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron dalam satu majlis di Bilik Mesyuarat Hang Tuah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Seri Negeri, pada Khamis.

Majlis penyerahan itu turut disaksikan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Menurut Sapiah, peruntukan yang diterima itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk melaksanakan beberapa projek dikenal pasti di bawah Program Bandar Selamat 2.0.

“Antara projek dirancang termasuk pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik serta penyediaan laluan pejalan kaki yang lebih selamat, selesa serta mesra pengguna.

“Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja membantu meningkatkan tahap keselamatan penduduk, malah memberi keyakinan kepada masyarakat untuk menjalankan aktiviti harian dalam persekitaran yang lebih kondusif. Ia juga menyokong usaha berterusan kerajaan dalam mewujudkan bandar yang selamat, inklusif dan berdaya huni,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui penyediaan kemudahan dan infrastruktur yang memenuhi keperluan semasa masyarakat.

“Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi untuk mewujudkan persekitaran bandar yang mampan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan MPHTJ,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post ZAHARI TINJAU KOLAM TADAHAN, CARI PENYELESAIAN ISU BANJIR
Next post POLIS KESAN EMPAT LELAKI DISYAKI CURI KABEL DI MRR2