
ZAHARI TINJAU KOLAM TADAHAN, CARI PENYELESAIAN ISU BANJIR
DURIAN TUNGGAL 6 Jun – Kebimbangan penduduk Taman Belimbing Setia dan Vista Belimbing berhubung isu aliran air serta risiko banjir mendapat perhatian menerusi lawatan ke kolam tadahan di kedua-dua kawasan itu pada 3 Jun lalu.
Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil berkata, lawatan ke kolam tadahan itu melibatkan Wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), pemaju serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Menurutnya, lawatan tersebut bertujuan meneliti secara menyeluruh isu aliran air selain mencari penyelesaian terbaik bagi mengurangkan risiko banjir yang menjadi kebimbangan penduduk setempat.
“Antara perkara dibincangkan ialah tindakan pihak JPS untuk mengkaji semula sistem saliran sedia ada bersama MPAG bagi memastikan aliran air dapat diuruskan dengan lebih berkesan.
“Selain itu, kita juga sedang merancang untuk menahan dan mengawal kuantiti air terlebih dahulu ketika hujan lebat sebelum dilepaskan secara berperingkat bagi mengurangkan limpahan air ke kawasan kampung yang boleh menyebabkan banjir,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan tindakan susulan dirancang dapat dilaksanakan demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
“Insya-Allah, saya akan terus memantau perkembangan perkara ini dan memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi kepentingan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


