Sorting by

×

20 RESTORAN SERTAI PROGRAM SAJIAN SIHAT KKM

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 Jun – Sebanyak 20 restoran seluruh negara menyertai ‘Healthy Dining Programme’ (HDP) yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyediakan lebih banyak pilihan makanan sihat kepada pengguna.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, menerusi penyertaan itu sebanyak 319 menu lebih sihat ditawarkan kepada pelanggan.

Katanya, menu yang diperkenalkan mempunyai kandungan garam dan gula yang lebih rendah berbanding hidangan asal.

“Budaya makan di luar, dalam kalangan rakyat Malaysia sangat tinggi sebab itu kita mahu memastikan pilihan makanan yang lebih sihat turut tersedia di restoran dan premis makanan.

“Melalui program ini, KKM bekerjasama dengan pengusaha restoran untuk mengurangkan kandungan garam dan gula dalam makanan tanpa menjejaskan kualiti hidangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia Tahun 2026 di sebuah pusat beli belah, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, pengambilan garam rakyat Malaysia ketika ini masih melebihi kadar yang disarankan iaitu hampir lapan gram sehari berbanding saranan lima gram sehari.

“Daripada program seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu dan usaha berterusan diperlukan bagi mengurangkan pengambilan garam dan gula dalam kalangan rakyat bagi mengekang peningkatan penyakit tidak berjangkit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

426
Kongsi :
Previous post TIADA PENUTUPAN, KKM AKTIFKAN PENGURUSAN KRISIS DI HOSPITAL SEGAMAT
Next post ZAHARI TINJAU KOLAM TADAHAN, CARI PENYELESAIAN ISU BANJIR