
TIADA PENUTUPAN, KKM AKTIFKAN PENGURUSAN KRISIS DI HOSPITAL SEGAMAT
BANDARAYA MELAKA 5 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan tiada penutupan fasiliti Hospital Segamat meskipun hospital tersebut berdepan tekanan perkhidmatan akibat peningkatan jumlah pesakit.
Menteri Kesihatan Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya telah mengaktifkan pengurusan krisis kluster bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terus berjalan lancar tanpa menjejaskan kualiti rawatan.
Katanya, pesakit yang sedang menerima rawatan di wad akan terus dirawat seperti biasa, manakala pesakit luar akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya terdapat keperluan.
“Tiada penutupan perkhidmatan berlaku, penjagaan pesakit adalah perkara yang tidak boleh dikompromi dan hospital terus beroperasi termasuk perkhidmatan di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G).
“Jika berlaku peningkatan mendadak jumlah pesakit, kita mempunyai mekanisme tertentu untuk menguruskan keadaan itu bagi memastikan rakyat terus mendapat akses kepada rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia Tahun 2026 di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta kenamaan lain.
Terdahulu, media melaporkan Pengarah Kesihatan Johor Dr. Mohtar Pungut@Ahmad dilapor menafikan dakwaan Hospital Segamat akan ditutup mulai 1 Julai ini, seperti yang tular menerusi media sosial.
Menjawab isu tersebut, Dr. Dzulkefly turut menafikan dakwaan terbabit dan memaklumkan hospital tersebut beroperasi seperti biasa.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, KKM akan sentiasa memantau kapasiti hospital dan fasiliti kesihatan di seluruh negara bagi memastikan sistem kesihatan awam mampu menampung peningkatan kehadiran pesakit dari semasa ke semasa.
Katanya, keutamaan KKM adalah memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terganggu selain menjamin setiap pesakit menerima rawatan sewajarnya.
“Yang paling penting, rakyat perlu tahu bahawa hospital dan fasiliti kesihatan kerajaan terus beroperasi dan KKM akan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kekal efisien serta berkualiti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

