Sorting by

×

WABAK MALARIA: KKM PERTINGKAT SARINGAN WARGA ASING SUSULAN 17 KES DI TERENGGANU

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDARAYA MELAKA 5 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertingkatkan langkah kawalan termasuk melaksanakan saringan malaria secara bersasar terhadap warga asing susulan pengesanan 17 kes wabak itu di Terengganu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tindakan tersebut diambil berikutan hampir keseluruhan kes yang direkodkan mempunyai kaitan dengan warga asing yang memasuki negara ini.

Katanya, selain saringan bersasar pihaknya akan melaksanakan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection), pengawasan lapangan serta memperkukuhkan mekanisme amaran awal bersama agensi berkaitan bagi membendung penularan wabak malaria itu.

“Langkah pantas dan kerjasama pelbagai agensi amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan malaria di kawasan yang terlibat.

“Pada masa sama rawatan dan pengurusan pesakit dikendalikan sepenuhnya oleh KKM bagi memastikan semua kes menerima rawatan segera serta pemantauan rapi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia Tahun 2026 di sebuah pusat beli belah, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, daripada keseluruhan kes yang dilaporkan 14 kes membabitkan jangkitan malaria daripada manusia manakala tiga lagi berpunca daripada sumber zoonotik atau haiwan.

Katanya, hasil siasatan mendapati kebanyakan kes dipercayai melibatkan individu yang memasuki negara ini secara tidak sah, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mendapatkan maklumat berkaitan pergerakan mereka.

“KKM akan terus memantau perkembangan semasa dan memperkukuhkan kerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan penularan malaria dapat dibendung sepenuhnya,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan amaran susulan peningkatan kes malaria dalam kalangan warga Rohingya dengan sebanyak 17 kes direkodkan setakat ini di negeri tersebut.

Daripada jumlah tersebut, 10 kes membabitkan jangkitan malaria jenis Plasmodium vivax dalam kalangan warga Rohingya yang dikategorikan sebagai kes import, manakala kes terbaharu dikesan di daerah Dungun dan Kuala Nerus.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

208
Kongsi :
Previous post ‘BELUM DAPAT ILHAM BILA BUBAR DUN MELAKA’ – AB RAUF
Next post TIADA PENUTUPAN, KKM AKTIFKAN PENGURUSAN KRISIS DI HOSPITAL SEGAMAT