
KADAR RATA CAJ PARKIR HOSPITAL MELAKA RM8 SEHARI BERKUATKUASA HARI INI – DR. DZULKEFLY
BANDARAYA MELAKA 5 Jun – Caj parkir di Hospital Melaka diselaraskan dengan kadar rata (flat rate) lebih rendah iaitu RM8 sehari berkuatkuasa hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penyelarasan itu dilaksanakan selepas syarikat konsesi parkir melakukan semakan terhadap caj dikenakan.
Katanya, pihak konsesi turut menyediakan kira-kira 300 petak parkir tambahan menggunakan sistem parkir mekanikal bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku di Hospital Melaka.
“Kadar caj parkir di Melaka kita rendahkan daripada segi ‘flat rate’ iaitu RM8 sehari, namun untuk jam pertama kekal dikenakan RM2.
“Selain itu, golongan orang kurang upaya (OKU) menikmati kemudahan parkir percuma, pesakit dialisis diberikan kadar khas RM5 sekali masuk walaupun menggunakan parkir dalam tempoh yang lama.
“Langkah ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban pesakit dan pengunjung hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia Tahun 2026 di sebuah pusat membeli belah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, kemudahan tambahan yang disediakan pihak konsesi berjaya menangani isu kekurangan parkir di fasiliti awam tersebut.
“Di hospital utama di negeri lain telah mengenakan caj yang lebih tinggi dan kadar flat rate di Melaka merupakan yang terendah setakat ini,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Negeri telah mengemukakan cadangan penambahbaikan termasuk memohon kadar caj yang lebih rendah dan munasabah di hospital Melaka.
Ia berikutan pelaksanaan caj parkir RM2 sejam berkuat kuasa 1 Jun lalu yang menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna khususnya rakyat Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

