
‘BELUM DAPAT ILHAM BILA BUBAR DUN MELAKA’ – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 5 Jun – Melaka turut merasai tempias bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, susulan cadangan pihak tertentu agar proses demokrasi bagi tiga negeri di kawasan selatan ini dijalankan serentak.
Mengulas mengenai perkara itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dengan tenang berkata, fokus Kerajaan Negeri Melaka ketika ini adalah menjalankan urusan-urusan bagi menyantuni hal ehwal rakyat sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi nanti.
Pada masa yang sama Ab Rauf menegaskan beliau tidak sama sekali tertekan dengan mana-mana pihak yang mendesak supaya Melaka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sama seperti Johor dan Negeri Sembilan bagi memberikan laluan kepada PRN.
“Saya mempunyai perkiraan dan aturan-aturan yang perlu diselesaikan mengikut pentadbiran dan urusan-urusan kerajaan yang perlu diselesaikan dulu.
“Kita tak mengikut muzik yang dimainkan oleh orang lain. Kita tak akan menari mengikut muzik-muzik mereka. Rentak mereka, rentak mereka, rentak Melaka, rentak Melaka,” katanya ketika ditemui di kediaman beliau di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.
Ab Rauf berkata, suasana dan keadaan di Johor serta Negeri Sembilan tidak sama dengan Melaka hingga DUN perlu dibubarkan dalam kadar segera.
Katanya sebagai jiran, Melaka memberikan kerjasama dan akan menghantar jentera bagi membantu PRN di Johor serta Negeri Sembilan.
“Hasil daripada keputusan PRN dua negeri berkenaan baru kita fikirkan bila waktu sesuai sehingga tarikh akhir tempoh tamat DUN Melaka.
“Menuju ke tarikh tersebut setakat hari ini saya belum mendapat ilham bila nak dibubarkan DUN Melaka,” katanya.
Sementara itu ditanya sama ada PRN Melaka tidak akan dijalankan serentak dengan negeri lain, Ab Rauf berkata dalam dunia politik ia adalah perkara yang tidak mustahil dan boleh berlaku.
“Itu tidak boleh diambil kira sebagai mustahil, politik ini adalah seni 1001 kemungkinan, tunggu dan lihat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


