Sorting by

×

BERATUR PANJANG DEMI PENGALAMAN PERTAMA ANAK

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDA HILIR 7 Jun – Demi melihat senyuman anak-anak, ada yang sanggup beratur panjang bagi menunggu giliran menaiki Melaka River Cruise yang menawarkan tiket pada harga istimewa RM10 sempena program Melaka Bila Larut Malam Edisi Jun.

Tawaran istimewa itu bukan sekadar memberi peluang kepada orang ramai menikmati pelayaran di Sungai Melaka pada harga mampu milik, malah menjadi medan buat keluarga mencipta kenangan manis sambil menikmati keindahan bandar raya bersejarah pada waktu malam.

IMG 20260607 WA0005
EZDIAYANA bersama suami dan anaknya sanggup beratur panjang untuk naik Melala River Cruise sempena Melaka Bila Larut Malam Edisi Jun.

Bagi Ezdiayana Yahya, 37, dari Gemencheh, penantian itu berbaloi apabila dapat memenuhi hasrat anaknya yang ingin merasai pengalaman menaiki bot buat pertama kali bersama keluarga.

Menurutnya, dia hadir bersama suami dan dua anak untuk merasai sendiri pengalaman yang sering menjadi pilihan pelancong ketika berkunjung ke Melaka.

“Anak saya memang teringin hendak naik bot, jadi kami sanggup beratur panjang kerana mahu dia merasai sendiri pengalaman itu. Sebelum ini kami sudah bawa dia menaiki Menara Taming Sari, kali ini kami bawa pula menaiki bot.

“Bila tiket hanya RM10 seorang, memang sangat berbaloi dan kami tidak mahu lepaskan peluang. Dengan harga seperti ini, lebih ramai orang boleh merasai pengalaman menaiki Melaka River Cruise,” katanya ketika ditemui di Jeti Melaka River Cruise.

Ezdiayana berkata, pengalaman menyusuri Sungai Melaka turut memberi peluang kepada anak-anak melihat keindahan bandar bersejarah itu dari perspektif berbeza selain menjadi aktiviti santai yang sesuai untuk seisi keluarga.

IMG 20260607 WA0002
NUR Shafinaz.

Sementara itu, Nur Shafinaz Razali, 32, dari Tampin berkata dia sememangnya sering berkunjung ke Melaka dan pernah beberapa kali menaiki Melaka River Cruise sebelum ini.

Namun katanya, suasana meriah Melaka Bila Larut Malam serta tawaran tiket pada harga istimewa menjadi faktor utama dia kembali menikmati aktiviti tersebut bersama rakannya.

“Saya memang selalu datang ke Melaka dan pernah naik bot sebelum ini, tetapi kali ini saya datang untuk memeriahkan suasana Melaka Bila Larut Malam.

“Harga RM10 memang murah dan berpatutan. Dengan tawaran seperti ini, semua orang berpeluang menaiki bot dan menikmati pemandangan menarik di sepanjang Sungai Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

604
Kongsi :
Previous post KONSERT GALAU PUKAU PENGUNJUNG MELAKA BILA LARUT MALAM EDISI JUN
Next post SEJARAH MELAKA JADI TUMPUAN DI MUZIUM SAMUDERA