Sorting by

×

SEJARAH MELAKA JADI TUMPUAN DI MUZIUM SAMUDERA

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BANDA HILIR 7 Jun – Muzium Samudera di Melaka terus menjadi tumpuan pengunjung apabila ramai mengambil peluang menikmati pengalaman bersejarah itu dengan harga tiket istimewa RM10 sempena Melaka Bila Larut Malam Edisi Jun.

IMG 20260607 WA0009
JESSY (kanan) bersama suami dan anaknya gembira melawat Muzium Samudera sempena Melaka Bila Larut Malam Edisi Jun

Bagi Jessy Yeong, 42, dari Singapura, kunjungan ke muzium berkenaan memberi pengalaman bermakna apabila dia dapat meneliti sejarah Melaka secara lebih dekat melalui pameran dipersembahkan dengan menarik dan mudah difahami.

Menurutnya, keunikan Melaka bukan sahaja terletak pada warisan sejarahnya, malah turut diperkukuhkan dengan tarikan makanan serta keramahan masyarakat setempat yang meninggalkan kesan mendalam sepanjang kunjungannya.

“Saya baru sehari berada di Melaka dan bagi saya muzium ini sangat menarik serta ‘grand’. Kita boleh faham sejarah Melaka dengan lebih jelas dan banyak perkara yang dipamerkan sangat informatif.

“Makanan di sini juga sangat sedap, terutama cendol gula Melaka dan makanan Peranakan. Orang di sini pun sangat baik dan mesra,” katanya ketika ditemui di Muzium Samudera.

Jessy berkata, bayaran tiket RM10 yang ditawarkan sempena program itu juga sangat berbaloi, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung termasuk pelancong asing menikmati produk pelancongan bersejarah negeri ini.

IMG 20260607 WA0010
NUR Madina bersama suami dan anak-anaknya.

Sementara itu, Nur Madina Alias, 42, dari Melaka berkata kunjungan kali ini merupakan kali kedua dia ke Muzium Samudera selepas pertama kali melawatnya ketika zaman persekolahan.

Menurutnya, pengalaman membawa anak-anak kali ini memberi peluang untuk berkongsi semula nostalgia ketika zaman remaja, selain memperkenalkan sejarah Negeri Melaka kepada generasi baharu.

“Dulu saya datang masa sekolah menengah, sekarang saya bawa anak-anak. Jadi saya mahu mereka rasa pengalaman sama seperti saya dulu dan saya juga boleh ceritakan semula pengalaman itu kepada mereka.

“Dengan harga RM10 ini memang sangat berbaloi kerana tidak semua tempat bersejarah ada tawaran seperti ini. Anak-anak pun seronok sebab ini kali pertama mereka masuk muzium ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post BERATUR PANJANG DEMI PENGALAMAN PERTAMA ANAK