Sorting by

×

MENARA TAMING SARI PECAH REKOD PENGUNJUNG BILA LARUT MALAM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDA HILIR 7 Jun – Menara Taming Sari terus menjadi antara tarikan utama pelancong apabila menerima sambutan luar biasa sempena Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Jun yang berlangsung malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan berkata, bertepatan dengan musim cuti sekolah serta pembukaan semester baharu di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT), menara pelancongan ikonik itu dibanjiri pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Menurut beliau, orang ramai sanggup beratur hampir sejam bagi mendapatkan tiket pada harga promosi RM10 sahaja sempena Melaka Bila Larut Malam bagi menikmati pengalaman menyaksikan keindahan panorama Bandaraya Melaka dari udara.

“Melaka Bila Larut Malam Edisi Jun menyaksikan warga kerja Menara Taming Sari sentiasa sibuk melayan kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus.

“Menariknya, jumlah pengunjung bukan sahaja kekal tinggi sepanjang malam, malah terus meningkat apabila waktu semakin lewat. Ini membuktikan Menara Taming Sari kekal sebagai destinasi pilihan utama untuk aktiviti malam bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Berdasarkan sambutan yang diterima serta barisan panjang pengunjung yang menunggu giliran, kami menjangkakan jumlah pengunjung melebihi 1,000 orang sekali gus mengatasi rekod yang dicatatkan pada edisi Mei lalu,” katanya kepada Melaka Hari Ini di perkarangan Menara Taming Sari.

Mengulas lanjut, Nur Azan berkata, pihaknya turut mengambil peluang memperkasakan usahawan tempatan menerusi kerjasama strategik yang dijalinkan sepanjang program berkenaan.

Katanya, beberapa reruai jualan dan promosi dibuka di sekitar kawasan Menara Taming Sari bagi memberi ruang kepada usahawan mempromosikan produk masing-masing kepada pengunjung.

“Selain menikmati promosi istimewa menaiki Menara Taming Sari, pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai produk keluaran usahawan tempatan yang dipamerkan di reruai-reruai yang disediakan.

“Inisiatif ini bukan sahaja memeriahkan suasana program, malah membantu mempromosikan produk tempatan kepada pelancong sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

434
Kongsi :
Previous post SEJARAH MELAKA JADI TUMPUAN DI MUZIUM SAMUDERA