Sorting by

×

PELAYARAN LARUT MALAM MELAKA RIVER CRUISE TARIK 2,000 PENGUNJUNG

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDA HILIR 7 Jun – Melaka River Cruise terus menjadi antara produk pelancongan tumpuan sempena Melaka Bila Larut Malam apabila merekodkan hampir 2,000 pengunjung, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, bersempena Edisi Jun 2026, produk pelayaran menelusuri Sungai Melaka itu berjaya menarik seramai 1,922 pengunjung di Jeti Taman Rempah dan Jeti Muara Sungai Melaka.

Jelas beliau, sambutan luar biasa itu membuktikan Melaka River Cruise kekal menjadi antara produk pelancongan utama yang mendapat tempat dalam kalangan pelancong domestik serta antarabangsa.

“Alhamdulillah, Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Jun sekali lagi menerima sambutan yang amat memberangsangkan apabila kedua-dua jeti utama Melaka River Cruise dipenuhi pengunjung sepanjang malam.

“Jumlah kehadiran seramai 1,922 orang menunjukkan program ini semakin mendapat tempat dan dinantikan oleh orang ramai setiap kali dianjurkan.

“Ia sekali gus membuktikan tarikan pelancongan waktu malam di Melaka terus berkembang serta mampu menarik kehadiran pelancong dari pelbagai lokasi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

719891632 122210615636530392 253382118758594960 n
ANTARA pengunjung yang menikmati pelayaran Melaka River Cruise. Foto PPSPM

Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata, pelbagai pengisian dan promosi istimewa disediakan bagi menambah kemeriahan program, tersebut selain sebagai tanda penghargaan kepada sokongan pengunjung.

“Antara tarikan yang disediakan promosi percuma air kelapa segar bagi pembelian tiket RM50, selain pelbagai baucar percuma kepada pengunjung yang membuat pembelian minimum RM50.

“Malah, pengunjung yang hadir mengenakan busana tradisional lengkap turut diberikan kemasukan percuma, sekali gus menyuntik elemen kebudayaan dan warisan dalam program ini,” katanya.

Tidak hanya itu, beliau memaklumkan, bagi setiap pembelian tiket Melaka River Cruise bernilai RM70 dan ke atas, pengunjung juga layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berupa sebuah kereta, selain pelbagai barangan elektrik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post MENARA TAMING SARI PECAH REKOD PENGUNJUNG BILA LARUT MALAM
Next post SEMINGGU BERSAMA RAKYAT, 57 PROGRAM WARNAI WRUR KESIDANG