Sorting by

×

SEMINGGU BERSAMA RAKYAT, 57 PROGRAM WARNAI WRUR KESIDANG

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

KESIDANG 7 Jun – Sebanyak 57 program berskala besar akan dilaksanakan sepanjang Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang yang berlangsung dari 7 hingga 13 Jun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, pelaksanaan program itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu kebajikan, pendidikan, kesihatan, keusahawanan dan pembangunan komuniti.

Menurut beliau, penganjuran WRUR kali ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), rumah ibadat serta penduduk segenap lapisan masyarakat.

Jelas beliau, antara program tumpuan yang diadakan adalah Hari Kebajikan DUN Kesidang yang diadakan pada hari pertama WRUR bertujuan memberi peluang kepada penduduk mendapatkan maklumat berkaitan bantuan dan inisiatif kerajaan termasuk dalam sudut bantuan kebajikan, skim perubatan dan lain-lain.

Katanya, program itu turut memberi pendedahan kepada rakyat mengenai pelbagai bentuk bantuan disediakan kerajaan dan Kerajaan Negeri seperti ambulans percuma, bantuan lampin pakai buang dan susu kepada pesakit terlantar.

“Ramai penduduk khususnya warga emas hadir berpeluang maklumat mengenai pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan. Ada antara mereka yang sebelum ini tidak mengetahui manfaat yang boleh dinikmati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Program WRUR DUN Kesidang Kota Melaka: Kampung Kita di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bachang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Adun Kota Laksamana Low Chee Leong serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Allex memaklumkan, pada 11 Jun nanti akan berlangsung Hari Kesihatan bertempat di Japerun Kesidang yang menawarkan pelbagai perkhidmatan saringan dan rawatan secara percuma dengan kerjasama klinik kesihatan, klinik swasta serta pengamal perubatan tradisional Cina.

Jelas beliau, menerusi program itu, orang ramai boleh mendapatkan pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan mata, rawatan serta beberapa perkhidmatan lain secara percuma, selain turut disediakan program gunting rambut percuma kepada mereka yang hadir,” ujarnya.

Beliau berkata, program bersama komuniti turut diadakan antaranya, gotong-royong perdana di Rumah Pangsa Taman Merdeka yang melibatkan pelbagai aktiviti pembersihan dan pengindahan kawasan.

Pada masa sama, ujar beliau, program keagamaan juga dirangka membabitkan pelbagai program berteras kerohanian di lapan buah masjid di bawah DUN Kesidang.

“Walaupun saya bukan beragama Islam, saya memberi ruang dan sokongan sepenuhnya kepada pihak masjid untuk menganjurkan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat sepanjang WRUR berlangsung,” katanya.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri memaklumkan, pada hari terakhir WRUR DUN Kesidang iaitu 13 Jun ini, akan diadakan Hari Aduan Rakyat bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka.

Jelas beliau, program penutup itu bakal menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi memudahkan rakyat menyalurkan aduan dan mendapatkan perkhidmatan secara terus, selain ia turut dimeriahkan dengan pameran agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pameran keusahawanan belia serta pertandingan e-sukan yang menyasarkan penyertaan golongan muda.

“Kita mahu WRUR menjadi platform yang benar-benar mendekati rakyat. Selain menyelesaikan isu dan aduan penduduk, program ini turut membuka peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk mereka serta menarik penyertaan golongan belia melalui aktiviti yang bersesuaian,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

317
Kongsi :
Previous post PELAYARAN LARUT MALAM MELAKA RIVER CRUISE TARIK 2,000 PENGUNJUNG
Next post MELAKA BAKAL MILIKI HOSPITAL BAHARU DI HANG TUAH JAYA