Sorting by

×

MELAKA BAKAL MILIKI HOSPITAL BAHARU DI HANG TUAH JAYA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PENGKALAN BATU 7 Jun – Melaka bakal memiliki sebuah hospital awam baharu bernilai RM875 juta yang akan dibangunkan di kawasan seluas 59.8 ekar di Parlimen Hang Tuah Jaya.

Projek itu menjadi antara yang diangkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 bagi membolehkan kerja awalan dilaksanakan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pembinaan hospital baharu itu penting bagi menguraikan isu kesesakan kritikal di Hospital Melaka yang berdepan kekangan kapasiti hanya 1,143 katil.

Jelas beliau, mengikut perancangan hospital baharu itu akan dibangunkan mengikut spesifikasi Hospital Berpakar Jenis 2 yang dilengkapi 400 katil, selain akan diangkat sebagai Centre of Excellence (CoE) Pertama di Melaka serta Hab Kepakaran Terawal di Selatan Semenanjung Malaysia.

“KKM kini dalam peringkat permohonan di bawah RP2 RMK13 untuk mendapatkan sekurang-kurangnya kelulusan butiran kerja awalan projek terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Hospital Melaka.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta lain-lain kenamaan.

Menurut Dr. Dzulkefly, hospital baharu itu akan dibina di atas tanah milik KKM yang terletak bersebelah Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sekali gus akan memantapkan lagi ekosistem rawatan pasca-akut dan aksesibiliti pesakit secara menyeluruh.

“Lokasinya terletak di dalam Parlimen Hang Tuah Jaya dan lawatan tapak sudah dilakukan malah apabila siap kelak ia akan memfokuskan perkhidmatan kritikal seperti Kardiologi, Kardiotorasik, Neurosurgeri dan Ambulatory Care Centre (ACC),” katanya.

Jelas beliau, lazimnya apabila peruntukan diluluskan, pembinaan hospital baharu itu dijangka mengambil tempoh masa antara empat hingga lima tahun, namun ia bergantung kepada situasi semasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

749
Kongsi :
Previous post SEMINGGU BERSAMA RAKYAT, 57 PROGRAM WARNAI WRUR KESIDANG
Next post WRUR KESIDANG PERKENAL ANUGERAH 100 TERBAIK, NYALAKAN SEMANGAT 1,200 PELAJAR