
WRUR KESIDANG PERKENAL ANUGERAH 100 TERBAIK, NYALAKAN SEMANGAT 1,200 PELAJAR
KESIDANG 7 Jun – Seramai 1,200 pelajar daripada 12 sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang menerima pengiktirafan menerusi penganjuran Anugerah 100 Terbaik.
Inisiatif itu diperkenalkan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang bagi menghargai dan mengiktiraf pelajar terbaik dalam pelbagai sudut, tidak terhad kepada kecemerlangan akademik semata-mata.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, inisiatif itu merupakan antara program tumpuan pada WRUR kali ini yang memberi fokus khusus kepada sektor pendidikan dan pembangunan sahsiah pelajar.
Menurut beliau, menerusi anugerah tersebut, seramai 100 pelajar terbaik daripada setiap sekolah akan dipilih untuk menerima penghargaan berdasarkan pelbagai aspek termasuk akhlak dan keperibadian serta kecemerlangan sukan.
“Pada WRUR kali ini, antara fokus utama kita adalah pemerkasaan pendidikan. Sebab itu kita memperkenalkan Anugerah 100 Terbaik yang melibatkan 12 sekolah di bawah DUN Kesidang.
“Melalui anugerah ini, kita mahu menghargai pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang, bukan sahaja dari segi akademik, malah aspek sahsiah, kepimpinan, disiplin, karakter serta pencapaian dalam bidang sukan turut diberikan perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan Program WRUR DUN Kesidang Kota Melaka: Kampung Kita, di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bachang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Adun Kota Laksamana Low Chee Leong serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Allex berkata, pengiktirafan itu diharap mampu meningkatkan keyakinan diri pelajar serta menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berusaha mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.
“Saya sempat bertanya kepada pihak sekolah mengenai pelajar yang dipilih. Ada antara mereka mungkin tidak pernah menerima anugerah sebelum ini atau tidak menyangka mereka boleh diiktiraf.
“Mungkin mereka tidak menonjol dalam akademik, tetapi mempunyai sahsiah yang baik, menunjukkan karakter positif atau aktif dalam bidang sukan. Mereka juga layak diberikan penghargaan atas usaha dan pencapaian masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, program itu juga melibatkan pelajar pendidikan khas yang akan menerima pengiktirafan berdasarkan pencapaian dan perkembangan mereka di sekolah.
“Pendidikan khas juga tidak kita lupakan. Kita mahu semua pelajar merasai penghargaan dan motivasi untuk terus maju mengikut kemampuan masing-masing.
“Harapan kita, pengiktirafan ini dapat menyuntik semangat kepada pelajar untuk terus berusaha menjadi individu yang lebih baik serta berjaya pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


