Sorting by

×

MELAKA RIVER CRUISE HIDUPKAN SEMULA KENANGAN 10 TAHUN LALU

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDA HILIR 8 Jun – Kunjungan ke Melaka River Cruise sempena Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Jun menjadi perjalanan penuh emosi buat Azilah Alimat, 46, apabila ia menghidupkan kembali kenangan indah bersama insan tersayang.

Selepas hampir sedekad tidak menaiki bot pelancongan ikonik itu, Azilah berkata, pelayaran menelusuri Sungai Melaka membawa dirinya kembali mengimbau memori bersama arwah pakciknya yang pernah berkhidmat sebagai pengendali bot di destinasi pelancongan berkenaan.

Menurutnya, suatu ketika dahulu, kunjungan ke Melaka River Cruise merupakan aktiviti yang sering dilakukan bersama keluarga, terutama ketika arwah pakciknya masih bertugas di situ.

“Sudah hampir 10 tahun saya tidak datang ke sini. Kali terakhir ketika anak-anak masih kecil dan masih bersekolah.

“Bila naik bot semula, banyak kenangan lama bermain di fikiran. Saya teringat arwah pakcik yang pernah bekerja sebagai pengendali bot di sini. Dahulu kami sekeluarga kerap datang dan meluangkan masa bersama,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Jeti Melaka River Cruise.

Menurut Azilah, dia pada mulanya tidak merancang untuk berkunjung ke lokasi itu, namun ajakan anak-anak serta keterujaan cucu-cucunya untuk menaiki bot membuatkannya tidak sampai hati untuk menolak.

Katanya, walaupun terpaksa berjalan agak jauh dari kawasan parkir dan menunggu dalam barisan yang panjang, pengalaman itu tetap berbaloi kerana dapat menggembirakan keluarga.

“Melihat kegembiraan mereka membuatkan saya rasa berbaloi datang ke sini. Tambahan pula, tiket promosi RM10 memang sangat berpatutan dan membantu keluarga menikmati tarikan pelancongan ini tanpa perlu berbelanja besar,” katanya.

Tambah Azilah, sepanjang pelayaran itu, dia bukan sahaja dapat menikmati keindahan landskap Sungai Melaka yang semakin berkembang, malah berpeluang mengimbau semula detik-detik manis bersama keluarga yang masih terpahat dalam ingatan.

“Walaupun masa sudah berlalu dan banyak perkara berubah, kenangan bersama keluarga tetap kekal. Apabila melihat bot-bot menelusuri sungai ini, saya rasa seolah-olah kembali ke zaman dahulu.

“Bagi saya, Melaka River Cruise bukan sekadar produk pelancongan, tetapi tempat yang menyimpan banyak memori berharga dalam hidup saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

460
Kongsi :
Previous post POLIS BURU LELAKI CURI BEG JEMAAH WANITA KETIKA SOLAT
Next post DARI BARA JADI KARYA, DUA BERADIK NYALAKAN SENI ‘WOODBURN’ BERIDENTITI MALAYSIA