Sorting by

×

POLIS BURU LELAKI CURI BEG JEMAAH WANITA KETIKA SOLAT

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

ALOR GAJAH 8 Jun – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki mencuri beg milik seorang penuntut universiti tempatan ketika mangsa sedang menunaikan solat di ruang solat wanita Masjid Ar-Rasyidin, Kampung Jelatang, di sini, Sabtu lalu.

Kejadian itu mendapat perhatian susulan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 23 saat yang tular di media sosial pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa berusia 19 tahun yang sedang bersolat seorang diri meletakkan beg mengandungi dokumen dan barangan peribadi termasuk dua telefon bimbit di hadapan sejadah.

Beliau berkata, sebaik bangun dari sujud, mangsa ternampak seorang lelaki tidak dikenali memakai baju-T biru dan berseluar pendek hitam berada di hadapannya.

“Suspek mengambil beg berkenaan sebelum melarikan diri melalui pintu belakang ruang solat wanita terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.24 petang pada hari yang sama.

“Identiti suspek telah dikenal pasti dan polis sedang giat memburu suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-556 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap persekitaran dan mengambil langkah keselamatan diri serta harta benda, terutama ketika bersendirian bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

416
Kongsi :
Previous post ‘VIEW MAHAL’ MENARA TAMING SARI MEMANG BERBALOI
Next post MELAKA RIVER CRUISE HIDUPKAN SEMULA KENANGAN 10 TAHUN LALU