Sorting by

×

PENERBANGAN LALUAN MELAKA-PULAU PINANG BAKAL BEROPERASI TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KESIDANG 8 Jun – Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) bakal mengendalikan laluan penerbangan Melaka-Pulau Pinang menerusi syarikat penerbangan Batik Air.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, laluan baharu itu dijangka akan beroperasi pada tahun ini selepas mendapat keputusan penuh daripada syarikat penerbangan tersebut.

Hameed berkata, laluan penerbangan domestik itu telah mendapat kelulusan daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“Kita telah mendapat satu lagi kelulusan penerbangan iaitu destinasi ke Pulau Pinang menerusi penerbangan Batik Air. Namun begitu ia belum mendapat pengesahan lagi dari syarikat penerbangan tersebut dan masih menunggu bila tarikh dan masa akan beroperasi.

“Kita jangkakan dalam masa terdekat (keputusan), mungkin satu atau dua bulan pada tahun ini juga,” katanya pada sidang media selepas sesi perbincangan bersama syarikat penerbangan yang turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad di LTAM, Batu Berendam, hari ini.

Menurut Hameed, selain penerbangan ke Pulau Pinang, LTAM akan menerima penerbangan Pekan Baru-Melaka yang kembali beroperasi pada 10 Jun ini menerusi pesawat ATR72.

“Ini satu lagi penambahan penerbangan di LTAM selain daripada Singapore Airlines (Scoot) yang sudah berjalan hampir dua tahun dengan kekerapan penerbangan tiga kali seminggu.

“Untuk destinasi Pekan Baru-Melaka, Melaka-Pekan Baru penerbangan pada Rabu, Jumaat dan Ahad yang laluan ini akan membantu merancakkan lagi sektor pelancongan kesihatan khususnya,” katanya.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri menerusi BPP akan bekerjasama dengan hospital swasta di Melaka bagi membantu mempromosikan kehadiran pelancong yang berlatar belakangkan kesihatan untuk ke Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

858
Kongsi :
Previous post INISIATIF WAKAF PEMANGKIN KELESTARIAN PENDIDIKAN UNIMEL
Next post INFRASTRUKTUR KESIHATAN MODEN UNTUK RAKYAT MELAKA