
MAHASISWA UNIMEL HARGAI INISIATIF KOMPUTER WAKAF
KUALA LINGGI 8 Jun – Bantuan dalam bentuk komputer mungkin kelihatan sederhana, namun bagi mahasiswa bergantung kepada kemudahan teknologi ia menjadi pemangkin untuk mereka mencapai kecemerlangan dalam akademik.
Bagi pelajar Universiti Islam Melaka (UNIMEL) Nabil Hafizi Abdul Razak, 24, menyambut baik pelaksanaan Projek Komputer Wakaf menerusi platform SINAR UNIMEL yang dilihat sebagai usaha murni memberi manfaat besar kepada warga kampus.

NABIL HAFIZI.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak ini berkata, projek itu membuka peluang kepada masyarakat sama ada sekitar universiti atau luar kampus untuk bersama-sama menyumbang melalui wakaf bagi membantu mahasiswa.
“Kemudahan komputer disediakan menerusi projek ini amat penting kerana pelajar boleh menggunakannya untuk menjalankan penyelidikan, mencari bahan rujukan dan menyiapkan tugasan akademik.
“Projek ini sangat baik kerana pelajar boleh datang ke bangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) UNIMEL menggunakan komputer untuk membuat kajian dan mencari bahan-bahan diperlukan.
“Sebagai pelajar, saya akan menggunakan kemudahan diwakafkan ini sebaik mungkin kerana pada semester ini saya perlu menyiapkan tesis dan projek akhir yang memerlukan banyak penyelidikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu Majlis Wacana Endowmen UNIMEL: Sinergi Memperkasa Pendidikan dan Kelestarian Ummah, Majlis Penyerahan Komputer Wakaf serta Minggu Mesra Siswa UNIMEL Sesi 1 2026/2027 telah dirasmikan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah di Auditorium Ibnu Khaldun UNIMEL, di sini, hari ini.

NURUL HALIMATUN IZZAH.
Sementara itu rakannya yang juga mengikuti jurusan sama, Nurul Halimatun Izzah Muhd Nizam, 23, menyifatkan projek tersebut sebagai satu langkah besar yang menunjukkan komitmen UNIMEL dalam membantu mahasiswa melalui penglibatan masyarakat.
Katanya, inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah membuka ruang kepada orang ramai untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan pendidikan.
“Saya melihat ini sebagai satu usaha sangat baik kerana UNIMEL bukan hanya tertumpu kepada warga kampus sendiri tetapi turut membuka peluang kepada masyarakat luar untuk berwakaf dan membantu pelajar di sini.
“Ia juga mampu memberi manfaat kepada pelajar kurang berkemampuan kerana adanya sumbangan wakaf yang boleh membantu mereka mendapatkan akses kepada kemudahan pembelajaran yang lebih baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

