Sorting by

×

MELAKA BUKA 500 KUOTA LESEN MOTOSIKAL PERCUMA UNTUK RAKYAT B40

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 9 Jun – Program Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Lesen Motosikal (B2) Percuma Fasa 2 Tahun 2026 bakal memberi manfaat kepada 500 rakyat Melaka khususnya golongan B40.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, permohonan bagi program anjuran Kerajaaan Negeri itu sudah dibuka dan tarikh tutupnya adalah pada 19 Jun ini.

Jelas beliau, berbanding fasa 1 yang hanya memfokuskan kepada pelajar sekolah dan Orang Kurang Upaya (OKU) sahaja, untuk fasa 2 ini ia membabitkan semua golongan dalam kategori berpendapatan rendah.

“Untuk fasa dua ini kita menawarkan 500 lagi permohonan membabitkan golongan B40 berusia 16 tahun ke atas, di mana ia terbuka kepada semua dan tidak terhad kepada pelajar sekolah dan OKU seperti sebelum ini.

“Namun, pemohon perlulah menepati syarat yang ditetapkan iaitu tidak pernah mempunyai lesen memandu dan bebas senarai hitam mahkamah, selain ia juga dikhususkan kepada B40 dan beralamat di Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Hameed, individu yang berminat untuk menyertai program itu  boleh mendapatkan borang MeSRa Lesen Motosikal (B2) di kesemua 28 Japerun di negeri ini.

“Pastinya program ini memberi manfaat kepada golongan B40 kerana Kerajaaan Negeri tampil membantu memudahkan mereka memiliki lesen.

“Pada tahun lalu menerusi Program MyLesen seramai 2,500 rakyat Melaka telah menerima manfaat apabila mendapat lesen motosikal percuma,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

682
Kongsi :
Previous post MAHASISWA UNIMEL HARGAI INISIATIF KOMPUTER WAKAF
Next post MELAKA BAKAL TERIMA 30 AMBULANS BAHARU