
MBMB HARGAI JASA, RAI PEKERJA PEMBERSIHAN
BANDA HILIR 18 Jun – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meraikan lebih 100 pekerja pembersihan bersempena sambutan Hari Pekerja Pembersihan Sedunia.
Inisiatif itu adalah sebagai tanda penghargaan terhadap jasa pekerja pembersihan yang banyak menyumbang kepada peningkatan tahap kebersihan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, majlis itu merupakan inisiatif MBMB bagi menyantuni dan menghargai wira kebersihan yang selama ini melaksanakan tugas tanpa mengira masa.
Katanya, inisiatif itu bukan pertama kali diadakan sebaliknya sebelum ini Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah mengumpul semua pekerja pembersihan di Melaka dan diraikan dalam satu majlis besar.
“MBMB mengambil inisiatif yang baik untuk menyantuni pekerja pembersihan dalam kawasan pentadbirannya dan mewakili Kerajaan Negeri serta rakyat Melaka saya mengucapkan terima kasih kepada wira pembersihan ini.
“Mereka adalah wira sebenar yang berada dilapangan tanpa mengira waktu misalnya pada hari raya ketika orang lain bersama keluarga mereka seawal pagi sudah keluar menunaikan tanggung jawab bagi memastikan melaka berada dalam keadaan bersih.
“Beberapa anugerah dan pengiktirafan diterima MBMB sebelum ini juga adalah antara jasa besar yang dilaksanakan oleh pekerja pembersihan ini,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Santuni Petugas Pembersihan Sempena Sambutan Hari Pekerja Pembersihan Peringkat MBMB Tahun 2026, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman dan Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff.
Menurut Rais, penganjuran majlis itu membawa makna yang besar sebagai tanda penghargaan kepada semua pekerja pembersihan yang banyak berkorban demi kesejahteraan rakyat dan imej negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


