Sorting by

×

SANTUNI MANGSA KEBAKARAN BUKTI TOK RAUF PRIHATIN KESUSAHAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Jun – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh meluangkan masa untuk menziarahi Mohd Fairus Hamzah, 53, dan isteri Samsiah Hassan, 48, yang hilang tempat berteduh selepas kediaman mereka di Kampung Balik Hutan, Lubok Redan, Masjid Tanah, musnah dalam kebakaran jam 9 malam 24 Mei lalu.

Lawatan Ketua Menteri itu juga bagi menunaikan janji beliau untuk melawat pasangan berkenaan apabila pulang semula ke Melaka selepas menunaikan ibadah haji di tanah suci.

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) akan membina semula kediaman pasangan berkenaan dengan kos sebanyak RM70,000.

“Kerajaan Negeri akan terus komited memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela. Kita tidak akan membiarkan rakyat berdepan kesusahan bersendirian, selagi ada ruang untuk membantu, selagi itulah kita akan hadir menghulurkan sokongan dan penyelesaian.

“Rumah baharu ini dijangka siap dalam tempoh kira-kira sebulan lagi. Inilah semangat Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang kita pegang, kita mendengar denyut nadi rakyat, memahami kesusahan mereka dan bertindak sebaiknya demi kesejahteraan bersama,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Program ziarah itu turut dihadiri Setiausaha Politik Ketua Menteri Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Pegawai Tugas Khas Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Pengarah Eksekutif Datuk TPr. Murad Husin serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Yang turut hadir Setiausaha UMNO Bahagian Masjid Tanah Mohd Hafith Alias; Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Azizan Daud serta Setiausaha Japerun Tanjung Bidara Ahmad Warid Ismail.

Terdahulu Ab Rauf turut melawat tapak kebakaran sebelum menyampaikan bantuan khas bencana berjumlah RM3,500 daripada Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah serta sumbangan RM3,000 daripada MAIM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

474
Kongsi :
Previous post MBMB TURUN PADANG SANTUNI PENDUDUK, SALUR BANTUAN IKUT KEPERLUAN
Next post MBMB HARGAI JASA, RAI PEKERJA PEMBERSIHAN