PRN MELAKA: CALON PN AYER KEROH UBAH STRATEGI DEKATI ‘GEN Z’

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BUKIT KATIL 9 November – Pendekatan kempen secara konvensional dilihat semakin mencabar untuk mendekati pengundi muda khususnya Generasi Z (Gen Z), sekali gus mendorong calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Michael Gan mempergiat penggunaan platform media sosial.

Beliau berkata, platform seperti TikTok, Facebook dan siaran langsung (live) menjadi antara medium utama untuk berinteraksi serta menyampaikan mesej kempen kepada golongan muda yang mempunyai kecenderungan tersendiri dalam menerima maklumat.

Menurutnya, pendekatan komunikasi yang lebih bersesuaian dengan corak penggunaan media generasi berkenaan perlu diberi perhatian bagi memastikan mesej yang disampaikan dapat menjangkau kelompok pengundi muda.

“Gen Z ini bukan mudah untuk didekati, tetapi kita tahu kita perlu menggunakan media untuk berinteraksi dengan mereka kerana golongan ini mempunyai cara tersendiri.

“Kalau kita menggunakan pendekatan konvensional memang agak sukar, jadi kita akan memperbanyakkan penggunaan media sosial termasuk TikTok, live dan Facebook,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan PN Bukit Katil.

Michael berkata, penggunaan platform digital itu turut menjadi sebahagian daripada usaha menyesuaikan gerak kerja kempen dengan perkembangan teknologi serta perubahan corak komunikasi masyarakat masa kini.

Katanya, media sosial membolehkan calon mendekati pengundi melalui medium yang lebih dekat dengan kehidupan seharian golongan muda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

165
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: NORAZRIL PERHEBAT KEMPEN FIZIKAL, DIGITAL MINGGU TERAKHIR