PPWK 2026: MARA PERLUAS PELUANG KEUSAHAWANAN WANITA, KOMUNITI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KESIDANG 9 November – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus mempergiat usaha memperkasa sosioekonomi wanita dan komuniti setempat menerusi peluasan akses kepada peluang keusahawanan, pembiayaan serta latihan kemahiran melalui Program Pemerkasaan Wanita dan Komuniti (PPWK) Kota Melaka 2026.

Program anjuran MARA Negeri Melaka yang berlangsung di Kompleks Japerun Kesidang itu membabitkan penyertaan 200 peserta terdiri daripada wanita, belia, usahawan mikro, penerima kemudahan MARA dan masyarakat setempat.

Majlis perasmian program bertemakan ‘Wanita & Komuniti Memperkasa Keusahawanan’ itu disempurnakan Ahli Majlis MARA, Senator Datuk Rosni Sohar.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (HAWA) Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah serta Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan MARA, Mohd Khaizan Dahlan.

Pelaksanaan program berkenaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keupayaan golongan wanita, khususnya usahawan mikro, supaya lebih berdaya saing dan mampu memanfaatkan peluang perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang semakin berkembang.

Antara pengisian disediakan termasuk taklimat mengenai perkhidmatan dan kemudahan MARA, perkongsian maklumat pembiayaan bersama institusi kewangan, sesi motivasi keusahawanan serta bicara inspirasi yang mengetengahkan pengalaman usahawan berjaya.

Aspek pendigitalan perniagaan turut diberi penekanan bagi membantu usahawan memahami kepentingan penggunaan teknologi dalam memperluas pasaran dan meningkatkan daya saing perniagaan.

Selain sesi perkongsian, peserta turut berpeluang mendapatkan khidmat nasihat secara langsung menerusi kaunter konsultasi yang menyediakan maklumat berkaitan pembiayaan dan kemudahan keusahawanan hasil kerjasama pelbagai rakan strategik.

Program itu turut mendapat sokongan GIATMARA, institusi pendidikan MARA, institusi kewangan, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti usahawan bagi menyediakan ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh kepada golongan sasar.

MARA Negeri Melaka berharap pelaksanaan PPWK dapat membantu meningkatkan keupayaan wanita menjana pendapatan, sekali gus memberi kesan positif terhadap ekonomi keluarga, pembangunan komuniti dan pertumbuhan ekonomi setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

171
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: 10 AKU JANJI ‘AH SEM’, KLINIK BAHARU HINGGA PELUANG PEKERJAAN DI MACHAP JAYA