
PRN MELAKA: WAKIL RAKYAT LAMA PERLU BAWA IDEA DAN PEMBAHARUAN BAHARU – AB RAUF
BANDA HILIR 8 November – Wakil rakyat yang telah lama berkhidmat perlu tampil dengan idea dan pendekatan baharu bagi memastikan kawasan diwakili terus mengalami perubahan serta pembangunan yang memberi manfaat kepada penduduk.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, semakin lama seseorang wakil rakyat diberi mandat, semakin banyak perubahan sepatutnya dapat dirancang dan dilaksanakan menerusi pemikiran serta idea tersendiri.
Menurutnya, kegagalan membawa pembaharuan sewajarnya perlu membuka ruang kepada rakyat untuk menilai keperluan terhadap perubahan kepimpinan di kawasan masing-masing.
“Pastinya makin lama kita menjadi wakil kepada satu kawasan, makin lama sepatutnya makin banyak perubahan.
“Tetapi kalau perubahan itu tidak boleh direncana dengan akal dan idea yang tersendiri, maka saya rasa rakyat perlu melihat bahawa kita mesti ada satu perubahan drastik daripada tangan kita yang akan memberikan undi kepada calon yang sudah begitu lama ataupun parti yang telah begitu lama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke DUN Banda Hilir di Bilik Gerakan DUN Banda Hilir, di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan calon BN bagi N.22 DUN Banda Hilir, Jasmine Lok.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, perubahan kepimpinan juga perlu mengambil kira keupayaan seseorang calon untuk bergerak seiring dengan pentadbiran Kerajaan Negeri bagi memastikan perancangan dan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

