MELAKA SIAP SEDIA HADAPI MTL

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KOTA LAKSAMANA 8 November – Kerajaan Negeri Melaka mengambil langkah awal bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 menerusi pelbagai langkah proaktif termasuk pemantauan banjir 24 jam, pengukuhan sistem amaran awal serta penyelarasan aset bagi mengurangkan risiko bencana di seluruh negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, persiapan awal itu telah dilaksanakan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi mesyuarat bagi mempergiat langkah kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan, khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), turut mempertingkat keupayaan pengurusan risiko banjir menerusi pendekatan lebih menyeluruh.

“Antara langkah kesiapsiagaan utama ialah pemantauan banjir selama 24 jam melibatkan enam lembangan sungai utama bagi merekodkan data hujan dan paras air sungai secara berterusan.

“Selain itu, sebanyak 14 siren amaran banjir dan 10 kamera pemantauan dipasang di lokasi strategik seluruh negeri bagi memperkukuh sistem amaran awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika lawatan ke Bilik Gerakan DUN N.20 Kota Laksamana di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Pengerusi MCA Bahagian Kota Melaka, Datuk Wira Gan Tian Loo dan calon Barisan Nasional (BN) DUN Kota Laksamana Melvin Chua.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut mengenal pasti 102 lokasi panas banjir berdasarkan rekod kejadian berulang sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini.

“Turut dilaksanakan kesiapsiagaan aset kawalan banjir turut dipertingkatkan dengan penyediaan 21 pintu kawalan air, 21 rumah pam serta 14 pam kecemasan mudah alih yang boleh digerakkan ke kawasan kritikal apabila diperlukan.

“Selain pemantauan infrastruktur tebatan banjir juga dilaksanakan membabitkan 105 kolam takungan banjir serta penyelenggaraan kawasan lembangan sungai yang dikenal pasti berisiko tinggi,” katanya.

Jelas beliau, sebanyak 447 kerja kecil bernilai RM40.38 juta juga dilaksanakan sepanjang tahun ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh pengurangan risiko banjir di negeri ini.

“Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh infrastruktur pengurusan banjir, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana serta mengurangkan risiko terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Untuk itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka akan terus menyalurkan hebahan dari semasa ke semasa bagi memastikan orang ramai menerima maklumat dan amaran awal, sekali gus membolehkan tindakan sewajarnya diambil ketika berdepan situasi kecemasan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

124
Kongsi :
Previous post DUN KOTA LAKSAMANA BAKAL DIANGKAT SEBAGAI IBU NEGERI MELAKA
Next post RAKYAT BOLEH NILAI PENCAPAIAN MANIFESTO BN