
PRN MELAKA: MUAFAKAT MELAKA SASAR PERUBAHAN LUAR JANGKA DI KESIDANG
KESIDANG 8 November – Muafakat Melaka di bawah gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus sokongan daripada kira-kira 21,000 pengundi Melayu di DUN Kesidang, sekali gus memastikan kemenangan calon gabungan itu, Albert Kok, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengarah PRN Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, baki sokongan pula perlu digerakkan menerusi jentera parti komponen termasuk MCA dan Wawasan bagi memastikan sokongan merentasi kaum dapat diterjemahkan kepada kemenangan.
Beliau berkata, pihaknya yakin gabungan kekuatan jentera dan sokongan semua pendokong Muafakat Melaka mampu mencetuskan perubahan di Kesidang yang di luar jangkaan.
“Kita ada 21,000 pengundi Melayu dalam DUN Kesidang ini. Pastikan sekurang-kurangnya 50 peratus penyokong kita, selebihnya digerakkan oleh MCA, digerakkan oleh Wawasan dan insya-Allah, saya yakin kali ini akan berlaku satu perubahan yang tidak pernah kita fikirkan.
“Satu perubahan luar jangka yang mana jangkaan ini akan dibuktikan oleh semua jeneral, pendokong dan penyokong Muafakat Melaka dengan memberikan undi kepada calon kita, Albert Kok, N.19 Kesidang, calon nombor tiga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan ke DUN Kesidang di Bilik Gerakan PN Kesidang, Malim Jaya, di sini, hari ini.
Hadir sama, calon PN N.19 Kesidang Albert Kok; Pengerusi MCA Bahagian Kota Melaka Datuk Wira Gan Tian Loo serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengingatkan Albert supaya memahami tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan mengutamakan keperluan penduduk, termasuk sentiasa hadir ketika mereka berdepan masalah dan memerlukan bantuan.
“Kalau nak jadi wakil rakyat, Albert, you kena jadi rakyat. Mesti jadi rakyat, kena tahu apa masalah rakyat, kena dengar apa keluhan rakyat, kena faham apa rakyat hendak.
“Longkang tersumbat, kita ada. Rumah dipukul ribut, kita sampai. Orang meninggal, kita ada, orang sakit, kita ada. Itu sebab nak jadi wakil rakyat mesti jadi rakyat,” katanya.
Menurutnya, penduduk di kawasan pinggir bandar seperti Kesidang juga memerlukan perhatian dan pendekatan yang lebih dekat, meskipun kawasan berkenaan mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap.
“Walaupun kedudukannya, infrastrukturnya, prasarananya sudah lengkap, tetapi kasih sayang mesti diberi,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

