
PRN MELAKA: AB RAUF HARAP ‘PERKAHWINAN’ BN-PN KEKAL HINGGA ANAK CUCU
KESIDANG 8 November – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menerusi Muafakat Melaka diharap berkekalan hingga ke anak cucu, tanpa sebarang perpisahan, sekali gus menjadi asas kepada perjuangan politik bersama sehingga ke Putrajaya.
Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh menyifatkan kerjasama kedua-dua gabungan itu seperti sebuah perkahwinan yang masih baharu, namun perlu dipelihara dengan komitmen dan kesetiaan jangka panjang.
Katanya, walaupun kerjasama berkenaan baru dibentuk kira-kira sebulan, beliau berharap ia tidak berakhir di tengah jalan, sebaliknya terus diperkukuh selepas PRN Melaka.
“Walaupun kita baru bernikah, sebulan, tapi kali ini kita nikah ada kelas. Ada saksi, ada kadi.
“Tapi kita harap perkahwinan ini sehingga ke anak cucu kita, bercerai tidak, bertalak tidak. Kita akan terus perjuangan bermula dari Melaka, kita menuju ke Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan ke DUN Kesidang di Bilik Gerakan PN Kesidang, Malim Jaya, di sini, hari ini.
Hadir sama, calon PN N.19 Kesidang, Albert Kok; Pengerusi MCA Bahagian Kota Melaka, Datuk Wira Gan Tian Loo serta lain-lain kenamaan.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf berkata suasana kempen PRN Melaka dilihat lebih tenang berbanding keadaan di beberapa negeri lain kerana jentera gabungan itu sudah melaksanakan persiapan dan kerja mendekati rakyat sejak tiga tahun lalu.
Katanya, pengalaman serta hasil kerja yang dilaksanakan dalam tempoh berkenaan menjadi asas untuk diteruskan dan disesuaikan dengan keperluan penduduk di Kesidang menerusi calon yang diketengahkan.
“Eh, tak ada negeri lain macam ni tahu. Kalau pergi kempen negeri lain, pilihan raya, seperti Johor, Negeri Sembilan, huru-hara dia berkempen. Kita relaks, tenang, sebab kita dah buat kerja awal tiga tahun,” katanya.
Ab Rauf turut mengingatkan jentera supaya bergerak dan bekerja bersama-sama bagi memastikan kemenangan calon gabungan itu di Kesidang, yang disifatkannya sebagai isyarat penting kepada hala tuju kerjasama BN-PN.
“Menang di Kesidang, insya-Allah memberikan satu isyarat yang paling besar untuk kita bergerak lebih cepat lagi ke Putrajaya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

