
PRN MELAKA: BANJIR BELUM BERAKHIR, IKHTIAR HELMY TIDAK TERHENTI
DUYONG 8 November – Usaha mengurangkan risiko banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong memerlukan penambahbaikan infrastruktur dan penyelenggaraan berterusan susulan perubahan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN N.21 Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pendekatan yang dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatannya bukan menjanjikan masalah banjir dapat dinoktahkan sepenuhnya, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan impaknya bencana terhadap penduduk.
Mohd Noor Helmy yang juga calon nombor 2 kerusi berkenaan memaklumkan, antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan ialah pembinaan longkang monsun di Desa Duyong bagi menangani masalah banjir yang sekian lama dihadapi penduduk kawasan berkenaan.
“Kalau sebelum ini hujan lebat sejam sudah menyebabkan banjir, sekarang mungkin memerlukan sehingga tiga jam untuk berlaku banjir.
“Kita tidak pernah berjanji untuk menyelesaikan banjir sepenuhnya, tetapi kita berjanji untuk mengurangkan isu banjir,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan BN DUN Duyong, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, masalah banjir memerlukan perhatian berterusan menerusi pemantauan dan penyelenggaraan berkala kerana penambahbaikan yang dilaksanakan di satu kawasan tidak bermakna kawasan lain terlepas daripada risiko sama.
Katanya, pelaksanaan projek infrastruktur juga bergantung kepada beberapa faktor, termasuk kelulusan pihak berkaitan, peruntukan yang disediakan serta persetujuan pemilik tanah bagi kawasan tertentu.
Sehubungan itu, beliau berkata, usaha mengurangkan risiko banjir akan terus diberi perhatian dengan mengambil kira keperluan penduduk, keutamaan projek serta kemampuan peruntukan yang tersedia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

