PRN MELAKA: BN-PN TEKAD RAMPAS SEMULA DUN KESIDANG

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KESIDANG 8 November – Selepas dua penggal tewas, Barisan Nasional (BN) bersama Perikatan Nasional (PN) kini meletakkan DUN Kesidang sebagai antara sasaran penting untuk dirampas semula dalam usaha mencetuskan perubahan landskap politik Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengarah PRN Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, gerak kerja kempen yang lebih terancang dan tersusun menjadi antara pendekatan bagi memastikan kerusi berkenaan kembali ‘dibirukan’.

Beliau berkata, kejayaan merampas semula Kesidang bukan sahaja penting kepada BN dan PN, malah dilihat mampu memperkukuh kerjasama politik menerusi Muafakat Melaka.

“Ya, ini kawasan penting sebab kawasan ini dahulu pernah dimenangi Barisan Nasional, namun kita kalah dua penggal.

“Tapi kali ini kalau kita berjaya dengan gerakan yang terancang dan teratur, kita rampas kembali DUN Kesidang untuk kembali kepada Muafakat Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke DUN Kesidang di Bilik Gerakan PN Kesidang, Malim Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon PN N.19 Kesidang Albert Kok; Pengerusi MCA Bahagian Kota Melaka Datuk Wira Gan Tian Loo serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, calon bagi DUN Kesidang, Albert Kok, merupakan anak tempatan yang pernah membesar di kawasan itu dan diyakini mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan seluruh jentera BN baik dari UMNO, MCA dan MIC supaya bergerak bersama-sama dengan PN bagi memastikan kerusi DUN Kesidang dimenangi gabungan kesepakatan Muafakat Melaka.

“Calon kita, Albert Kok ini merupakan anak tempatan yang pernah membesar di sini. Beliau akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kerana kali ini dalam kesepakatan antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional, kita melahirkan Muafakat Melaka.

“Kita mahu memastikan DUN Kesidang ini akan kembali kepada Muafakat Melaka yang akan diterjemahkan pada 14 November ini (hari pengundian),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

101
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: FORMULA KERJASAMA BN-PN PERLU DIBUKTIKAN DI PETI UNDI – KJ