
TOK RAUF INGATKAN PENGUNDI MUDA, BIJAK MEMILIH DEMI KESTABILAN
TANJUNG BIDARA 7 November – Pengundi muda diingatkan supaya tidak tersilap membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 kerana keputusan yang dibuat hari ini bakal menentukan hala tuju serta kestabilan pentadbiran negeri pada masa hadapan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, golongan muda perlu bijak menilai kepimpinan dan mempertahankan kemakmuran yang telah dikecapi hasil kestabilan kerajaan ketika ini.
Menurutnya, pengundi muda bukan sekadar penentu keputusan pilihan raya, malah merupakan generasi yang bakal mewarisi tanggungjawab kepimpinan negara pada masa hadapan.
“Pengundi muda sebenarnya diatur untuk menjadi pemimpin masa hadapan kita. Kalau tersalah pilih, kita akan mengambil masa yang lama untuk membina semula apa yang dinikmati ketika ini.
“Pastinya pengundi muda mempengaruhi sebahagian besar daripada jumlah undi dalam pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Kempen DUN Tanjung Bidara di Kampung Balik Batu, di sini, hari ini.
Ab Rauf yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.02 Tanjung Bidara berkata, pengalaman pada PRN Melaka Ke-15 dan Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini perlu dijadikan pengajaran dalam memahami corak sokongan pengundi, khususnya golongan muda.
Katanya, BN berjaya memenangi 21 kerusi DUN Melaka pada PRN Ke-15, namun parti itu kehilangan kesemua enam kerusi Parlimen pada PRU.
“Sebabnya apabila kerajaan isytiharkan orang muda automatik terus boleh mengundi, kita tidak dapat bimbing mereka, tidak dapat nak pandu mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

