PRN MELAKA: TOK RAUF MAHU BIMBING PEMIMPIN MUDA, DR. AKMAL ANTARA ANAK DIDIK BERJAYA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SUNGAI RAMBAI 7 November – Pengalaman membimbing pemimpin muda termasuk calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.27 Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menjadi antara usaha Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh dalam melahirkan generasi pelapis kepimpinan.

Ab Rauf berkata, pengalaman dalam pentadbiran dan politik perlu diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dapat diteruskan oleh individu yang mempunyai pengetahuan serta keupayaan memikul tanggungjawab lebih besar.

Katanya, beliau mula mengenali Dr. Muhamad Akmal ketika pemimpin muda itu berada di Rusia sebelum melihat potensi yang dimilikinya dan memberikan ruang untuk terus dibimbing dalam dunia politik serta pentadbiran.

“Apabila dia pulang, saya bimbing dia dan dia bekerja di bawah pentadbiran saya. Saya mahu mewariskan pengalaman pentadbiran serta ilmu politik kepada generasi yang mampu meneruskan kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan ke DUN Sungai Rambai di Bilik Gerakan BN DUN Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; calon BN N.28 DUN Sungai Rambai, Jezlee Pit serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Siti Faizah Abd Aziz.

Dalam pada itu, Ab Rauf mengingatkan golongan muda supaya mengatur langkah dalam politik dengan penuh adab, kebijaksanaan dan memahami aturan bagi mencapai cita-cita masing-masing.

Katanya, perjalanan politik bukan sekadar mengejar kedudukan, sebaliknya memerlukan kematangan dalam mengurus hubungan serta memahami dinamika antara rakan dan lawan politik.

“Politik ini satu seni seribu kemungkinan. Sebab itu, kita perlu bijak mengurus hubungan dan memahami keadaan antara rakan serta lawan politik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

136
Kongsi :
Previous post DR. YADZIL ERATKAN KESEPADUAN JENTERA BN-PN DI BEMBAN