
PRN MELAKA: BN DAPAT SOKONGAN PENUH 7 CAWANGAN PAS DI SERKAM
SERKAM 7 November – Sebanyak tujuh cawangan PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam menyatakan komitmen untuk membantu menggerakkan jentera kempen Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Calon BN bagi DUN N.26 Serkam, Datuk Azman Abdullah berkata, sokongan itu merupakan perkembangan positif dalam memperkukuh gerak kerja kempen parti di peringkat akar umbi, khususnya menjelang hari pengundian.
Menurutnya yang juga calon nombor 1, jentera PAS yang dijadualkan turun ke lapangan bagi mendekati ahli parti serta mengajak mereka memberikan sokongan kepada calon BN di kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah, di Serkam ini terdapat tujuh cawangan PAS yang setakat ini memberikan komitmen penuh membantu saya.
“Alhamdulillah mereka juga menggerakkan semua jentera PAS dan turun ke bawah untuk bertemu ahli-ahli bagi menyokong calon Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir ke Program Apa Kabau Orang Melaka di Pantai Siring, di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Datuk Kamarudin Sedik serta kenamaan lain.
Azman berkata, baki lima hari tempoh berkempen akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan mempergiatkan usaha mendekati pengundi di seluruh kawasan DUN Serkam.
Katanya, sepanjang seminggu berkempen, beliau bersyukur apabila menerima maklum balas positif daripada penduduk di beberapa lokaliti yang telah dikunjunginya.
Tambahnya, pendekatan awal kempen memberi tumpuan kepada golongan veteran sebelum usaha mendekati pengundi muda dipergiatkan menjelang hari pengundian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


