PRN MELAKA: BN PILIH KEMPEN TENANG, PERTARUH REKOD KERJA SANTUNI RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SUNGAI RAMBAI 7 November – Barisan Nasional (BN) Melaka memilih pendekatan kempen secara tenang dan sederhana menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 pada 14 November ini, dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh gerak kerja mendekati rakyat yang telah dilaksanakan lebih awal.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, suasana kempen kali ini dilihat lebih terkawal berbanding pilihan raya terdahulu kerana jentera parti sudah melaksanakan pendekatan menyantuni rakyat sebelum tempoh rasmi berkempen bermula.

Katanya, tempoh kempen selama 14 hari itu dimanfaatkan untuk meneruskan pendekatan berkenaan selain memperhalusi gerak kerja sedia ada bagi memastikan hubungan dengan masyarakat terus diperkukuh.

“Kita tidak seperti kempen pilihan raya yang lepas-lepas kerana kita telah pun membuat kerja-kerja menyantuni rakyat lebih awal sebelum pilihan raya.

“Jadi dalam tempoh dua minggu ini kita hanya menyantuni dan memperhalusi gerak kerja yang telah kita bina selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke DUN Sungai Rambai di Bilik Gerakan BN DUN Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Jasin merangkap calon BN N.27 DUN Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; calon BN N.28 DUN Sungai Rambai, Jezlee Pit serta Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Siti Faizah Abd Aziz.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pendekatan berkenaan dilihat memadai tanpa perlu jentera parti bertindak secara terlalu agresif atau tergesa-gesa sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, rakyat sudah melihat sendiri usaha yang dilaksanakan barisan Kerajaan Negeri sebelum ini menerusi pelbagai inisiatif mendekati masyarakat termasuk gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

“Saya lihat kita tidak perlu agresif dan tergopoh-gapah kerana rakyat tahu barisan kerajaan yang bersama-sama dengan saya dahulu bertugas demi rakyat, untuk rakyat menerusi Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

250
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘MACAMLAH PEMIMPIN MEREKA MALAIKAT’ – ONN HAFIZ