
ISU TAHANAN RUMAH NAJIB: ONN HAFIZ GESA NGO BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP PEGUAM NEGARA
SERKAM 7 November – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri itu tampil membuat laporan polis terhadap Peguam Negara berhubung isu penangguhan pelaksanaan tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau menyifatkan tindakan dan kenyataan Peguam Negara berhubung perkara itu sebagai satu bentuk penderhakaan terhadap institusi diraja yang perlu diberi perhatian serius.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu, semua pihak perlu mempertahankan institusi diraja daripada sebarang tindakan yang disifatkan boleh menjejaskan hak dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
“Bagi saya, apa yang telah dinyatakan oleh Peguam Negara kita anggap sebagai satu penderhakaan kepada institusi diraja.
“Saya meminta supaya NGO-NGO di negeri Johor Darul Takzim untuk semua keluar ramai-ramai bagi mempertahankan institusi diraja supaya tidak ada mana-mana pihak yang akan memperalatkan mana-mana agensi dan institusi bagi menidakkan hak Raja-Raja kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Apa Kabau Orang Melaka di Pantai Siring, di sini, hari ini.
Hadir sama, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam Datuk Azman Abdullah; Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin Datuk Kamarudin Sedik serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, laporan polis yang telah dibuat perlu diberi perhatian pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.
“Berdasarkan laporan-laporan polis yang dibuat ini, sudah pasti kertas siasatan perlu dilakukan dan siasatan akan dibuat oleh PDRM. Selepas itu kita biar undang-undang mengambil jalannya,” katanya.
Beliau berharap semua pihak menghormati institusi diraja serta memastikan sebarang isu berkaitan titah dan perintah diraja ditangani melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.
Isu berkenaan tercetus selepas AGC pada 6 November memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penelitian dan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September 2026 serta kesan Perintah Pelepasan (Order of Discharge) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

