PRN MELAKA: MUAFAKAT MELAKA BERTERASKAN INTEGRITI, KEMAKMURAN DAN KEADILAN – ZULKIFLI

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 7 November – Gagasan Muafakat Melaka yang digerakkan menerusi kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berteraskan tiga prinsip utama iaitu integriti dalam pentadbiran, kemakmuran bersama serta keadilan untuk semua lapisan masyarakat.

Timbalan Pengerusi PN Melaka, Zulkifli Ismail berkata, ketiga-tiga prinsip berkenaan menjadi asas kepada usaha membentuk pentadbiran yang bukan sahaja mengutamakan pembangunan, malah memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Menurutnya, kerjasama politik antara BN dan PN menerusi Muafakat Melaka perlu diterjemahkan melalui kesepakatan pemikiran, penyelarasan tindakan serta komitmen melaksanakan setiap tawaran yang terkandung dalam manifesto bersama.

“Setiap keputusan menyentuh kehidupan manusia dan setiap ringgit yang dibelanjakan mesti memberi manfaat kepada rakyat. Sebab itulah pelancaran manifesto ini perlu disambut dengan kesungguhan untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Bersama BN-PN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah PRN Melaka Ke-16 Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan BN dan PN.

Zulkifli yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, gagasan berkenaan bukan sekadar kerjasama politik untuk menghadapi PRN, sebaliknya perlu menjadi landasan menyatukan usaha bagi membawa manfaat kepada rakyat.

Katanya, hubungan UMNO dan PAS juga mempunyai sejarah kerjasama dalam bidang keilmuan, pendidikan dan dakwah, yang menjadi antara asas kepada usaha memperluas permuafakatan dalam bidang politik dan pentadbiran.

“Saya berkeyakinan permuafakatan dan penyatuan ini bukan sahaja akan membawa kebaikan besar kepada rakyat Melaka, bahkan juga membawa perubahan landskap politik negara secara menyeluruh, insya-Allah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

92
Kongsi :
Previous post ‘SATU BUMBUNG, SATU KELUARGA’ PEGANGAN PPPPK BANTU PENIAGA SAMUDERA