HAKISAN SUNGAI BERTAM ULU DIKHUATIRI ANCAM LEBUH SPA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

SUNGAI UDANG 7 November – Masalah hakisan tebing Sungai Bertam Ulu bukan sahaja mengancam kediaman penduduk, malah berpotensi memberi risiko kepada Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) sekiranya tidak ditangani segera.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, keadaan hakisan yang semakin serius di kawasan itu memerlukan perhatian segera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), termasuk kajian mendalam bagi memastikan keselamatan infrastruktur berhampiran.

Beliau yang juga calon nombor 3 bagi kerusi N.11 Sungai Udang berkata, terdapat kira-kira 70 buah rumah penduduk di sepanjang kiri dan kanan sungai berkenaan yang berdepan ancaman hakisan sehingga ada pembinaan kediaman terpaksa dihentikan berikutan tanah semakin terhakis.

“Sebenarnya terdapat berpuluh-puluh rumah di sepanjang kiri dan kanan sungai yang berdepan masalah hakisan sangat serius, malah ada rumah yang terpaksa dihentikan pembinaannya kerana sungai sudah menghakis banyak kawasan tanah di situ.

“Namun, perkara yang lebih merisaukan kita ialah kedudukan sungai ini yang sangat hampir dengan Lebuh SPA.

“Sekiranya hakisan berterusan, saya berharap pihak JPS dapat menjalankan kajian lebih mendalam supaya keadaan itu tidak menjejaskan lebuh raya berkenaan yang digunakan ribuan pengguna setiap hari,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengadakan lawatan ke kawasan terjejas hakisan di Kampung Bertam Ulu, di sini, pada Jumaat.

Menurut Rais, penyelesaian masalah berkenaan perlu diberi keutamaan oleh mana-mana wakil rakyat yang mewakili kawasan itu, termasuklah dirinya jika diberikan mandat oleh rakyat Sungai Udang.

Jelas beliau, selain langkah jangka pendek dan perancangan menyeluruh untuk jangka panjang juga perlu dilaksanakan termasuklah memohon peruntukan di bawah Rancangan Malaysia.

“Antara penyelesaian jangka panjang yang perlu dipertimbangkan ialah projek pelurusan sungai bagi memastikan aliran air lebih lancar selain menangani masalah hakisan dan banjir.

“Semua ini perlu dilakukan memandangkan bagi melindungi keselamatan penduduk dan infrastruktur yang ada di kawasan berhampiran,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

147
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KERJASAMA BN-PN TINGKAT KEYAKINAN RAIH KEMENANGAN BESAR – ISMAIL SABRI