PRN MELAKA: BN-PN SATU HALA TUJU BANGUNKAN MELAKA DALAM 5 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 6 November – Kesepakatan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam membentuk satu hala tuju bersama diterjemahkan menerusi pembentangan manifesto yang menggariskan 113 inisiatif bagi memacu pembangunan Melaka dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, kerjasama kedua-dua gabungan itu memperlihatkan kesediaan menyatukan perbezaan latar belakang perjuangan demi memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat dan masa depan negeri.

Menurutnya, manifesto berkenaan merupakan hasil gabungan pengalaman, pandangan serta pendekatan kedua-dua gabungan yang dirumuskan dalam satu dokumen merangkumi keutamaan dan perancangan pembangunan Melaka.

“Ini memperlihatkan satu perkembangan penting dalam landskap politik Negeri Melaka. Dua gabungan politik, dua latar belakang sejarah perjuangan, dan kini berada di atas satu pentas, membentangkan satu hala tuju bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto BN dan PN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Pengerusi PN Melaka Zulkifli Ismail; Ketua Pemuda BN Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Ab Rauf berkata, kerjasama itu bukan semata-mata berasaskan kepentingan politik, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan komitmen yang mampu memberikan manfaat kepada rakyat.

Katanya, manifesto bertemakan ‘Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara’ itu menggariskan enam teras utama dengan 113 inisiatif yang mengambil kira keperluan kira-kira 1.06 juta penduduk negeri ini.

Manifesto berkenaan merangkumi pelbagai aspek termasuk perumahan, kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negeri.

Beliau berkata, kesepakatan yang dicapai perlu disusuli pengurusan dan pelaksanaan yang teratur bagi memastikan setiap perancangan tidak hanya menjadi tawaran di atas kertas, sebaliknya dapat diterjemahkan kepada hasil yang dirasai masyarakat.

“Saya yakin kerjasama Barisan Nasional dan Perikatan Nasional dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan yang teratur, pengurusan yang bertanggungjawab dan hasil yang benar-benar membawa manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

293
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: TAKIYUDDIN YAKIN PN DAPAT MANDAT DI 5 DUN, HASIL KERJASAMA BN
Next post MAIM PERKASA TADBIR URUS, KEBAJIKAN KAKITANGAN JADI KEUTAMAAN