PRN MELAKA: MANIFESTO BN-PN BERSASAR, REALISTIK, MAMPU DITUNAIKAN – TAKIYUDDIN

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 6 November – Manifesto bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 disifatkan bersasar, realistik dan mampu dilaksanakan berdasarkan keperluan rakyat serta rekod pencapaian pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum ini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keyakinan itu turut didorong tawaran manifesto yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan rakyat daripada peringkat bayi hingga warga emas.

Menurutnya, manifesto berkenaan memberi penekanan kepada keperluan utama masyarakat termasuk kos sara hidup, pendidikan, perumahan dan kebajikan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian.

“Kita nampak manifesto ini adalah manifesto yang bersasar, ‘is targeted’ dan kita yakin ia ‘achievable’, ia akan dapat dicapai.

“Dengan rekod yang ada kepada kepimpinan Kerajaan Melaka sebelum ini, manifesto yang lepas pun telah dicapai lebih daripada 90 peratus, iaitu 97 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN-PN bagi PRN Melaka Ke-16 oleh Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah PRN Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Pengerusi PN Melaka Zulkifli Ismail; Ketua Pemuda BN Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, keyakinan terhadap pelaksanaan manifesto itu turut bersandarkan kerjasama kedua-dua gabungan dalam merangka setiap tawaran menerusi penglibatan pasukan pakar strategi masing-masing.

Katanya, proses berkenaan membabitkan penyertaan empat hingga lima pakar strategi PN yang bergabung dengan pasukan BN bagi menghasilkan manifesto yang mengambil kira keperluan serta kepentingan rakyat Melaka.

“Kami menghantar empat atau lima orang pakar-pakar strategi kami dan bersama dengan Barisan Nasional, sehinggalah dihasilkan satu manifesto yang dirancang dengan baik,” katanya.

Ditanya sama ada manifesto berkenaan mampu memenuhi kehendak rakyat Melaka, beliau berpandangan tawaran yang dikemukakan telah mengambil kira keperluan masyarakat secara menyeluruh.

“Bermula daripada seumur bayi sehinggalah hujung usia. Jadi, saya rasa tidak ada benda lain yang lebih besar,” katanya.

Beliau turut berharap pentadbiran yang dibentuk selepas PRN Melaka kelak dapat melaksanakan setiap komitmen yang terkandung dalam manifesto berkenaan demi memenuhi keperluan rakyat dan pembangunan negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

319
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN-PN MAHU MELAKA JADI HAB TVET NASIONAL
Next post PRN MELAKA: KESEPAKATAN BN-PN AKAN DITERJEMAH PADA 14 NOVEMBER – AB RAUF