
PRN MELAKA: BN-PN MAHU MEMBINA MASA DEPAN MELAKA, MEMAKMURKAN NEGARA
AYER KEROH 6 November – Sebanyak 113 inisiatif merangkumi enam teras utama ditawarkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto bertemakan ‘Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara’ itu dirangka berdasarkan keperluan kira-kira 1.06 juta penduduk negeri ini merangkumi pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Menurutnya, manifesto berkenaan yang digerakkan menerusi slogan BN Sayang Rakyat dan Muafakat Melaka turut mengambil kira kepentingan 687,697 pengundi berdaftar di negeri ini.
“Untuk makluman semua, sebanyak enam teras utama digariskan dengan mengetengahkan 113 inisiatif yang ditawarkan kepada kira-kira 687,697 pengundi di negeri Melaka.
“Daripada keseluruhan 113 inisiatif tersebut, 20 komitmen utama diberikan penekanan khusus kerana mempunyai kaitan langsung dengan keperluan kehidupan seharian rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional dan Perikatan Nasional bagi PRN Melaka Ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Pengerusi PN Melaka Zulkifli Ismail; Ketua Pemuda BN Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Ab Rauf berkata, enam teras utama manifesto itu merangkumi aspek perumahan, kos sara hidup, pendidikan, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pertumbuhan ekonomi serta keperluan pembangunan negeri.
Katanya, 20 komitmen utama berkenaan perlu dilihat berdasarkan manfaat yang boleh dinikmati masyarakat pada setiap peringkat kehidupan dan bukan sekadar angka atau senarai program.
“Manifesto ini bukan sekadar angka atau senarai program, sebaliknya kita mahu setiap tawaran yang dikemukakan dapat menjawab keperluan masyarakat serta membawa manfaat sebenar kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


