PRN MELAKA: KESEPAKATAN BN-PN AKAN DITERJEMAH PADA 14 NOVEMBER – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 6 November – Kesepakatan di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bakal diterjemahkan kepada kejayaan pada 14 November ini.

Itu keyakinan dizahirkan Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh yang amat berpuas hati dengan kebersamaan gabungan tersebut.

Menurutnya, pembentangan manifesto berkenaan merupakan langkah pertama dalam kerjasama politik BN-PN di Melaka yang berteraskan kesatuan matlamat dan hala tuju.

“Saya amat berpuas hati dengan keberadaan rakan-rakan strategik politik di negeri Melaka ini. Keberadaan kami adalah satu kesepakatan, satu matlamat dan satu tujuan.

“Insya-Allah, kita terjemahkan pada 14 haribulan ini. Kebersamaan ini akan membuahkan hasil yang baik, bukan untuk kami, tetapi untuk rakyat Melaka dan seterusnya Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN dan PN bagi PRN Melaka Ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Pengerusi PN Melaka Zulkifli Ismail; Ketua Pemuda BN Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad serta kenamaan lain.

Mengulas mengenai penghasilan manifesto pertama membabitkan kedua-dua gabungan itu, Ab Rauf berkata, ia terbentuk hasil beberapa siri mesyuarat yang memberi ruang kepada perkongsian pandangan dan pertukaran idea sebelum mencapai kesepakatan terhadap manifesto bersama.

“Kita telah mengadakan beberapa mesyuarat bersama, memberikan pandangan serta bertukar-tukar fikiran dan akhirnya sampai kepada rumusan yang kita bentangkan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

350
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MANIFESTO BN-PN BERSASAR, REALISTIK, MAMPU DITUNAIKAN – TAKIYUDDIN
Next post PRN MELAKA: TAKIYUDDIN YAKIN PN DAPAT MANDAT DI 5 DUN, HASIL KERJASAMA BN