PRN MELAKA: BN-PN MAHU MELAKA JADI HAB TVET NASIONAL

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 6 November – Melaka menyasarkan untuk muncul sebagai hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) nasional menerusi sasaran melatih lebih 15,000 graduan dalam bidang berkenaan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir industri.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, komitmen itu antara tawaran yang digariskan dalam manifesto BN dan Perikatan Nasional (PN) bagi memperkukuh pembangunan modal insan serta meningkatkan kebolehpasaran anak Melaka.

Menurutnya, usaha berkenaan penting bagi memastikan lebih ramai anak muda memiliki kemahiran dan kelayakan profesional yang diperlukan industri, sekali gus membuka peluang mendapatkan pekerjaan berpendapatan lebih baik.

“Seiring dengan itu, turut disasarkan latihan kepada lebih 15,000 graduan TVET di samping menjadikan Melaka sebagai hab TVET nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto BN dan PN bagi PRN Melaka Ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Pengerusi PN Melaka Zulkifli Ismail; Ketua Pemuda BN Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Ab Rauf berkata, usaha memperluas akses kepada latihan kemahiran turut disokong menerusi bantuan pensijilan TVET secara one-off kepada belia daripada golongan B40 bagi membantu mereka mendapatkan kelayakan yang diperlukan industri.

Selain itu, manifesto berkenaan turut menawarkan latihan percuma dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT), selain pembangunan Melaka Digital dan AI Hub bagi memperluas penyertaan anak muda dalam ekonomi digital.

Katanya, pembangunan ekosistem kemahiran dan teknologi itu turut menyokong aspirasi menarik pelaburan bernilai RM30 bilion serta mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan menerusi pembangunan kawasan perindustrian baharu dan sektor berteknologi tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

447
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN-PN MAHU MEMBINA MASA DEPAN MELAKA, MEMAKMURKAN NEGARA
Next post PRN MELAKA: MANIFESTO BN-PN BERSASAR, REALISTIK, MAMPU DITUNAIKAN – TAKIYUDDIN