PRN MELAKA: KEBAJIKAN RAKYAT SEPANJANG HAYAT JADI KEUTAMAAN BN-PN

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 6 November – Kebajikan rakyat daripada peringkat kelahiran hingga ke penghujung usia menjadi antara keutamaan manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 menerusi pelbagai tawaran bantuan merangkumi setiap lapisan masyarakat.

Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu dirangka bagi memastikan keperluan bayi, kanak-kanak, belia, pasangan muda dan warga emas terus mendapat perhatian tanpa mengira latar belakang.

Menurutnya, antara tawaran dikemukakan ialah pemberian simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) secara one-off kepada bayi yang dilahirkan bermula 1 Januari 2027, selain bantuan tambang pengangkutan murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Katanya, golongan belia daripada keluarga B40 turut ditawarkan bantuan one-off bagi mengikuti program pensijilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), manakala 25,000 peluang pekerjaan disasarkan untuk anak Melaka dalam tempoh lima tahun.

“Bagi anak muda yang memasuki alam pekerjaan, kita tawarkan 25,000 peluang pekerjaan.

“Bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga dengan pendapatan isi rumah bawah RM3,500, kita tawarkan sagu hati one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto BN dan PN bagi PRN Melaka Ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Pengerusi PN Melaka Zulkifli Ismail; Ketua Pemuda BN Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Ab Rauf berkata, perhatian terhadap kebajikan rakyat turut merangkumi golongan warga emas menerusi kesinambungan bantuan kebajikan, selain menyediakan sokongan berkaitan urusan pengurusan jenazah.

Katanya, pendekatan itu mencerminkan hasrat BN dan PN untuk memastikan bantuan serta kemudahan yang ditawarkan tidak hanya tertumpu kepada kelompok tertentu, sebaliknya mengambil kira keperluan rakyat pada setiap peringkat kehidupan.

Beliau berkata, keseluruhan tawaran berkenaan dirangka dengan mengambil kira kepentingan kira-kira 1.06 juta penduduk Melaka tanpa meminggirkan mana-mana kaum dan agama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

184
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN-PN TAWAR PENTADBIRAN LEBIH DEKAT DENGAN RAKYAT
Next post PRN MELAKA: MANIFESTO BN-PN PASTIKAN ‘NO ONE IS LEFT BEHIND’