
PRN MELAKA: MANIFESTO BN-PN TUMPU RANCAKKAN EKONOMI, LUASKAN PENDAPATAN RAKYAT – MCA
AYER KEROH 6 November – Penekanan terhadap usaha menarik pelaburan dan mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan baharu menjadi antara perkara yang mendapat perhatian Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau berkata, perancangan berkenaan penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi negeri, selain memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat menerusi peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.
Menurutnya, usaha menjana ekonomi tidak seharusnya hanya bergantung kepada kutipan hasil daripada rakyat, sebaliknya perlu diperkukuh melalui strategi menarik pelaburan baharu yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi.
“Kita tidak semata-mata dapat duit daripada rakyat, tetapi ada caranya untuk meningkatkan pelaburan, selain sasaran 25,000 peluang pekerjaan yang baharu kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN-PN bagi PRN Melaka Ke-16 oleh Pengarah PRN Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Pengerusi PN Melaka Zulkifli Ismail; Ketua Pemuda BN Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Wanita BN Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Ka Siong turut menyambut baik perancangan pembangunan pusat data yang disifatkan sebagai antara potensi baharu untuk mengembangkan ekonomi negeri menerusi kemasukan pelaburan dalam sektor berkenaan.
Sementara itu, mengulas prestasi empat calon MCA yang bertanding pada PRN kali ini, beliau berpuas hati dengan usaha mereka mendekati pengundi meskipun berdepan persaingan sengit.
Katanya, dua calon penyandang mempunyai pengalaman menggalas portfolio penting serta sudah lama berkhidmat di kawasan masing-masing, sekali gus memberi ruang kepada pengundi menilai rekod perkhidmatan mereka.
“Mereka ini antara wakil rakyat yang sangat rajin mendampingi rakyat, menyantuni rakyat dan sentiasa berada di sisi rakyat ketika keadaan duka, bencana dan kematian,” katanya.
Bagi dua calon baharu pula, beliau berkata, mereka berjaya membentuk pasukan kempen dalam tempoh kurang 24 jam selepas menerima mandat untuk bertanding pada saat akhir sebelum penamaan calon.
Menurutnya, kedua-dua calon itu juga membawa isu yang relevan dengan keperluan penduduk setempat sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan sokongan pengundi.
Mengakui calon penyandang parti lawan mempunyai kelebihan berdasarkan pengalaman dan tempoh perkhidmatan di kawasan yang telah dimenangi beberapa penggal, Ka Siong berharap calon MCA terus meningkatkan usaha serta memberikan khidmat terbaik sepanjang tempoh berkempen.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


