
BAZAR DEEPAVALI LITTLE INDIA LAMBANG PERPADUAN LEBIH 30 TAHUN
BANDA HILIR 7 November – Bazar Deepavali di Little India bukan sekadar menjadi tumpuan masyarakat mendapatkan keperluan perayaan, malah mencerminkan keharmonian dan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum yang telah terjalin sejak lebih 30 tahun lalu.
Pengerusi MIC Melaka, Datuk VP Shanmugam berkata, keistimewaan bazar berkenaan terserlah menerusi penglibatan peniaga pelbagai kaum termasuk Melayu dan Cina yang turut mengambil peluang menjana pendapatan dengan menjual barangan keperluan Deepavali.
Katanya, suasana itu memperlihatkan keunikan masyarakat Malaysia apabila perbezaan agama dan bangsa tidak menjadi penghalang untuk rakyat bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya serta tradisi setiap kaum.
“Ini adalah satu kelebihan Malaysia apabila dalam kemajmukan kaum dan pelbagai agama, apabila tiba musim perayaan, kita semua bersatu hati untuk sama-sama menyambutnya.
“Dalam kalangan pengunjung pun masyarakat Melayu beragama Islam turut membeli pakaian Punjabi untuk anak-anak dan juga kegunaan sendiri. Inilah kelebihan masyarakat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi tinjauan mesra Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Bazar Deepavali, Little India, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, tradisi yang menyaksikan penyertaan masyarakat pelbagai kaum itu perlu diteruskan sebagai warisan kepada generasi akan datang agar semangat perpaduan dan keharmonian yang dibina sejak sekian lama tidak terhakis.
Katanya, usaha memelihara keharmonian masyarakat memerlukan peranan semua pihak bagi memastikan generasi seterusnya dapat mewarisi negara yang aman dan bersatu padu.
“Saya berharap semua pihak dapat memainkan peranan memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang lebih baik, aman dan bersatu padu meskipun kita berbilang bangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


